suria

Penganggur Didenda RM1,000 Cederakan Pasangan

KUALA LUMPUR: Seorang penganggur didenda RM1,000 oleh Mahkamah Sesyen Ampang pada Jumaat kerana menyebabkan kecederaan kepada seorang ahli perniagaan dan isterinya, dua bulan lepas.

Majistret Noor Farah Haswani Osman mendenda Mohd Razif Abd Razak, 22, bagi setiap pertuduhan RM500 selepas dia mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan mencederakan Ibrahim Abdullah, 41, dan isteri keduanya, Hariati Mohamed Noor, 38.

Mahkamah juga memerintahkan dia menjalani hukuman penjara tambahan selama sebulan jika gagal membayar denda itu.

Mohd Razif didakwa melakukan kesalahan itu di kawasan parkir kereta di Jalan Memanda 2, Persiaran Ampang Point, pada 5.30 pagi 7 Oktober lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga setahun atau denda jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, insiden itu berlaku apabila mangsa (Ibrahim) sedang bertengkar dengan isteri pertamanya, Fatimah Manikam Abdullah, 35, di mana tiba-tiba datang lapan lelaki dan memukul mangsa dan isteri keduanya.

Dalam rayuannya, peguam Mohd Fadly Sutris yang mewakili Mohf Razif memberitahu mahkamah anak guamnya cuba membantu mereka dan tidak mengetahui ia adalah isu keluarga.

Timbalan Pendakwa Raya Purnima Selvarajah menjalankan pendakwaan. -BERNAMA

Artikel Lain