suria

Kanabis: Bekas Pemandu Peribadi Dipenjara 11 Tahun, 10 Sebatan

SHAH ALAM: Seorang bekas pemandu peribadi dijatuhi hukuman penjara 11 tahun dan 10 sebatan oleh Mahkamah Tinggi pada Jumaat kerana memiliki kanabis seberat 383.12 gram pada Disember tahun lepas.

Hakim Noor Azian Shaari menjatuhkan hukuman itu selepas Mohd Noor Ahmad, 46, mengaku bersalah terhadap tuduhan pilihan mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di No: 274A, Jalan Hulu Kelang, Batu 7 1/2 Ampang dekat sini pada 3.30 petang, 21 Dis tahun lepas.

Dia dihukum mengikut Seksyen 39A(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau penjara minimum lima tahun dan sekurang-kurangnya 10 kali sebatan.

Tertuduh sebelum ini menghadapi pertuduhan mengedar mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Dia bagaimanapun bernasib baik apabila pihak pendakwaan menawarkan pertuduhan pilihan itu.

Terdahulu, peguam Salim Bashir yang mewakili Mohd Noor memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan atas alasan anak guamnya yang menghidap sakit kencing manis kronik telah insaf atas perbuatannya.

Beliau berkata tertuduh melakukan kesalahan itu kerana terpengaruh dengan rakan-rakannya yang terlibat dalam penagihan dan pengedaran dadah.

Timbalan Pendakwa Raya Fazilah Begum Abdul Ghani yang mengendalikan pendakwaan bagaimanapun memohon hukuman berat dijatuhkan ke atas tertuduh bagi mencerminkan keseriusan mahkamah dalam menangani kesalahan dadah yang merupakan musuh nombor satu negara.

"Kesalahan dadah tidak wajar diberikan diskaun (hukuman) walaupun tidak libatkan pertumpahan darah tetapi kesannya amat serius kerana ia boleh melumpuhkan sesebuah negara.

"Tertuduh juga tidak patut tuduh orang lain (mempengaruhinya) sebab setiap manusia diberi akal untuk berfikir yang mana baik dan buruk untuk dirinya," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain