suria

Bekas Pengarah, CEO KPFQ Didakwa Tipu Bank Lebih RM60 Juta

KUALA LUMPUR: Bekas Pengarah Koperasi Permodalan Felda Quality (KPFQ) dan bekas Ketua Pegawai Operasi syarikat itu pada Jumaat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap 134 pertuduhan menipu pegawai bank membabitkan lebih RM60 juta.

Datuk Tan Han Kook, 58 dan Ching Siew Cheong, 50, didakwa dengan niat bersama menipu pegawai Malayan Banking Berhad bagi permohonan tuntutan kemudahan Penerimaan Jurubank (Bankers Acceptance) adalah tulen.

Menurut kertas pertuduhan, mereka dengan curangnya mendorong pegawai bank tersebut untuk memindahkan wang berjumlah RM67,433,143 ke dalam akaun tiga buah syarikat iaitu Asia Food Link Sdn Bhd, Violet Bonanza Sdn Bhd dan Stanson Marketing Sdn Bhd.

Menurut pertuduhan itu lagi, pegawai itu tidak akan memindahkan wang tersebut sekiranya mereka tidak diperdayakan oleh kedua-dua tertuduh.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di Malayan Banking Berhad, Tingkat 8, Menara Hap Seng, Jalan P.Ramlee dekat sini antara Oktober 2011 hingga Februari tahun ini.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan dengan sebat dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Mereka juga turut mengaku tidak bersalah terhadap 134 pertuduhan alternatif iaitu menggunakan dokumen palsu ketika permohonan tuntutan kemudahan Penerimaan Jurubank (Bankers Acceptance) di tempat dan tarikh yang sama.

Bagi pertuduhan alternatif itu, Tan dan Ching didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 467 kanun sama yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Dzulkifli Ahmad menawarkan jaminan RM800,000 dengan seorang penjamin terhadap setiap tertuduh berserta syarat tambahan pasport mereka diserahkan kepada mahkamah.

Peguam Ng Aik Guan yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon agar wang jaminan itu dijelaskan separuh dahulu iaitu RM400,000, manakala bakinya dijelaskan, sebelum 14 Disember ini.

Hakim Rozilah Salleh membenarkan permohonan peguam itu serta memerintahkan pasport kedua-dua tertuduh diserahkan kepada mahkamah dan menetapkan 2 Jan depan untuk pengurusan kes. -BERNAMA

Artikel Lain