suria

Perlis Hadapi Gangguan Perkhidmatan Selular - MB

KANGAR: Para pengguna perkhidmatan selular di Perlis terutama kawasan pinggir sempadan Malaysia-Thailand mengalami kemerosotan kualiti liputan sejak suku kedua tahun ini, kata Menteri Besar Datuk Seri Dr Md Isa Sabu.

Beliau memberitahu sidang dewan undangan negeri di sini bahawa gangguan itu berpunca daripada pelancaran perhidmatan 3G oleh sebuah syarikat telekomunikasi Thailand dalam jalur 900MHz. Menjawab soalan lisan Yip Sun Onn (BN-Titi Tinggi), Md Isa berkata gangguan itu turut menjejas kualiti liputan selular Celcom sejauh 20 kilometer dari sempadan.

Menurut beliau, Celcom telah mengambil inisiatif menukar frekuensi di samping mengadakan perbincangan dengan syarikat telekomunikasi DTAC, Thailand yang melancarkan perkhidmatan 3G itu untuk mencari penyelesaian jangka panjang.

Bagi mengelakkan para pengguna mengalami kerugian, Md Isa menasihati mereka mengaktifkan pilihan rangkaian secara manual dan mematikan pilihan rangkaian automatik pada telefon bimbit masing-masing. Selain itu, mereka juga perlu mematikan perkhidmatan rayau di set telefon mudah alih masing-masing supaya perkhidmtan itu hanya berpaut pada rangkaian Malaysia. Menteri Besar itu berkata, sehingga Oktober lalu, jumlah pengguna telefon bimbit yang mendaftar pakej 3G seluruh Perlis adalah sebanyak 13,800 orang.

Katanya, peratus kawasan liputan 3G di negeri ini adalah 80.7 peratus daripada keluasan negeri ini dan meletakkan Perlis sebagai antara negeri yang paling tinggi peratusan kawasan liputan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Industri dan Hubungan Antarabangsa Perlis, Datuk Seri Diraja Syed Razlan Putra Jamalullail memberitahu dewan, sejak 2009, sebanyak empat misi perdagangan dan pelaburan ke luar negara telah dilakukan.

Menjawab soalan lisan Rus'sele Eizan (PAS-Simpang Empat), beliau berkata misi pelaburan pergi ke Australia dan Singapura pada 2009, Eropah pada 2010 dan Jepun tahun lepas.

Katanya, syarikat asing yang terbaru melabur di Perlis ialah LHOIST Group yang diasaskan di Belgium dan telah melabur RM100 juta bagi menjalankan perusahaan kuari dolomit.

Turut menunjuk minat terhadap Perlis ialah Sanderson Group Operational (Australia), Kazakhstan International Halal Industry (Kazakstan) dan Shenzen Kanger Bamboo & Wood Co.Ltd (China).

Syed Razlan berkata selain pelabur asing, banyak syarikat tempatan juga berminat membuat pelaburan di Perlis termasuk dalam industri kejuruteraan berteknologi tinggi yang mesra alam.

Dewan yang bersidang selama tiga hari ditangguh lewat hari ini. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain