suria

Perak Warta 11,600 Hektar Tanah Untuk Penempatan Orang Asli

TELUK INTAN: Kerajaan Perak telah mewartakan tanah seluas 11,600 hektar sebagai kawasan penempatan Orang Asli setakat ini dan merupakan bukti kerajaan Barisan Nasional proaktif dalam membela nasib golongan itu.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata selain itu, kerajaan Perak juga merancang untuk mewartakan 15,000 hektar lagi bagi tujuan sama.

"Perak mempunyai 250 perkampungan Orang Asli dan pertambahan sebanyak 15,000 hektar akan diwartakan untuk masyarakat Orang Asli," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Semarak Kasih Bersama Masyarakat Orang Asli di Perkampungan Orang Asli Redang Penggor, di sini Khamis.

Menurutnya, kerajaan negeri memperuntukkan RM1.5 juta dalam belanjawan tahun ini untuk pembangunan masyarakat Orang Asli di Perak dan peruntukan itu akan ditambah dalam Belanjawan 2013.

"Pertambahan bajet ini menunjukkan kerajaan negeri cukup prihatin dengan sokongan padu masyarakat Orang Asli," katanya.

Pada majlis itu, Zambry turut menyerahkan geran tanah kediaman kepada 160 penduduk Orang Asli dari Kampung Palawan, iaitu sebuah perkampungan Orang Asli dalam kawasan parlimen Teluk Intan.

Terdahulu, beliau melakukan upacara pecah tanah untuk pembinaan 150 unit pangsapuri kos rendah bernilai RM17.9 juta di Jalan Laksamana di sini. Projek bangunan setinggi 10 tingkat itu dijangka siap Julai 2014.

Katanya projek pangsapuri kos rendah itu adalah untuk golongan berpendapatan rendah dan miskin tegar terutama penduduk setinggan.

"Pembinaan rumah ini dilaksanakan dengan kerjasama agensi di bawah kerajaan negeri dan kerajaan pusat dalam usaha untuk mengatasi masalah perumahan rakyat di Perak," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain