suria

Kemuka Kad Laporan Semasa Mesyuarat Agung MIC - Penganalisis Politik

KUALA LUMPUR: Bagi menarik sokongan masyarakat India untuk MIC dan Barisan Nasional (BN), mesyuarat agung tahunan (AGM) MIC pada Ahad perlu mengemukakan kad laporan yang tepat mengenai janji-janji dan tindakan yang dibuat sejak pilihan raya umum 2008.

Penganalisis politik percaya fakta sedemikian lebih sesuai dan berkesan bagi masyarakat untuk menilai usaha yang dilakukan pemimpin-pemimpin daripada dibuat secara lisan mengenai inisiatif-inisiatif itu.

Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian dari Universiti Sains Malaysia berkata AGM parti adalah platform terbaik bagi menyediakan maklumat tepat kepada orang ramai mengenai usaha dan kejayaan yang telah dicapai, yang akhirnya akan mengukuhkan kesetiaan masyarakat.

"Para perwakilan akan membincangkan lebih mendalam projek-projek dan inisiatif yang telah menunjukkan hasil dan juga usaha-usaha yang sedang berjalan, seiring dengan inisiatif yang dijalankan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang telah berhubung dengan masyarakat India bagi mengenal pasti masalah mereka.

"Sebagai contoh, beliau (Najib) menubuhkan Jawatankuasa Kabinet Mengenai Masyarakat India di Jabatan Perdana Menteri dan Pasukan Petugas Pelaksanaan Khas (SITF), jadi memang kena pada masanya bagi perwakilan untuk menjelaskan apa yang mereka lakukan setakat ini," katanya kepada Bernama.

Sivamurugan menjelaskan perbincangan telus adalah penting sebagai sebahagian daripada persiapan menghadapi pilihan raya umum ke-13 dan pada masa sama memastikan sokongan kaum India untuk MIC memandangkan kurangnya sokongan dikenal pasti sebagai punca utama prestasi buruk BN pada pilihan raya umum lepas.

Pada pilihan raya umum Mac 2008, majoriti masyarakat India mengetepikan B Ndengan MIC hanya menang tiga daripada sembilan kerusi Parlimen dan tujuh daripada 19 kerusi dewan undangan negeri. Parti itu hanya mampu merampas kembali kerusi Parlimen Hulu Selangor ppada pilihan raya kecil 2009.

Dengan menyatakan sudut pandangan yang sama, felo ketua penyelidik Institut Pengajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Datuk Dr Denison Jayasooria berpendapat penerangan jelas mengenai apa yang telah dijanjikan dan ditunaikan kerajaan dan MIC akan membantu rakyat untuk memahaminya dengan lebih baik.

"Semua maklumat ini perlu didokumenkan dengan fakta dan objektif dan bukan hanya cakap-cakap politik," katanya.

Sambil menyatakan bahawa pemimpin tidak sepatutnya mengutuk pembangkang, beliau berkata mereka perlu membuktikan bahawa MIC adalah sebuah parti yang kukuh yang boleh secara kolektif menangani keperluan mendesak dan penting masyarakat. Dengan 3,960 cawangan, MIC mempunyai kira-kira 600,000 anggota di seluruh negara.

Sebagai tambahan, beliau berkata MIC perlu menunjukkan bahawa bahagian-bahagian lain dalam masyarakat itu seperti media Tamil, masyarakat sivil, entiti perniagaan; badan-badan profesional dan kumpulan subetnik bersama-sama dalam agenda Perdana Menteri untuk kemenangan BN.

"MIC perlu merendah diri bagi memastikan semua orang bekerjasama demi kebaikan bersama dan bukan hanya untuk menang tetapi menyelesaikan isu-isu membabitkan terutama sekali kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus ke bawah .. oleh itu agenda yang inklusif dalam penyampaian adalah penting," tegasnya.

Sambil merujuk kepada Perhimpunan Agung Umno 2012 baru-baru ini, Denison berkata Presiden MIC Datuk Seri G. Palanivel perlu belajar daripada pengalaman Umno, yang menyaksikan Najib sebagai pemimpin hebat yang mempunyai visi yang jelas, dinamik dalam pembentangan dan dalam persepsi politik.

Beliau menjelaskan Palanivel mesti mempamerkan keyakinanya dalam mengetuai bukan sahaja MIC tetapi juga masyarakat India seluruhnya, memandangkan beliau bukan sahaja mewakili parti tetapi juga sebagai wakil masyarakat India dalam kerangka kerja BN.

Ketika memberi respons terhadap cadangan itu, setiausaha agung MIC Datuk S. Murugesan berkata perlu ada fakta-fakta penting menjelaskan dengan terperinci kegiatan dan prestasi parti yang akan diedarkan kepada semua cawangan dan pemimpin bahagian semasa mesyuarat itu.

Kira-kira 1,500 perwakilan dan 2,000 pemerhati termasuk ketua-ketua cawangan akan menghadiri mesyuarat agung tahunan itu yang akan diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.

Para perwakilan akan berbahas enam resolusi termasuk politik, transformasi ekonomi masyarakat India, pendidikan, peluang pekerjaan dalam sektor awam dan latihan untuk belia India. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain