suria

Hasan Yakin BN Mampu Pertahan Kemenangan Lima DUN Di Parlimen K.Pilah

KUALA PILAH: Anggota Parlimen Kuala Pilah Datuk Hasan Malek yakin Barisan Nasional (BN) mampu mempertahan kelima-lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam kawasan parlimennya yang ditandingi wakil parti itu pada pilihan raya umum akan datang.

Kelima-lima kawasan DUN itu ialah Senaling, Juasseh, Seri Menanti, Pilah dan Johol.

"Selain sokongan rakyat dan pengundi, pemimpin Umno dan BN termasuk saya telah menjalankan tanggungjawab dan tugas sebagai Anggota Parlimen dan DUN dengan baik," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan khas kepada tiga penerima di kawasan Dewan Undangan Negeri Johol dekat sini, Jumaat.

Hasan yang juga Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata walaupun DUN Johol tiada wakil rakyat berikutan kematian Datuk Roslan Mohd. Yusof pada 4 Oktober 2011, tapi Umno telah mewakilkan dua wakil rakyatnya iaitu anggota DUN Seri Menanti Datuk Abd Samad Ibrahim dan anggota DUN Senaling Datuk Ismail Lasim untuk melihat dan membantu apa juga masalah di kawasan DUN Johol.

"Saya tahu, walaupun Pas telah 'berkubu' di DUN Johol, tetapi anggota DU Ndaripada Umno telah menjalankan tugas mereka secara adil dan saksama tanpa mengira latar belakang kaum serta agama. Kita berkeyakinan untuk mengekalkan kelima-lima kerusi DUN itu sebagai kubu kuat untuk BN pada pilihan raya umum akan datang, sebagaimana yang berlaku pada 2008.

"Saya akui ada segelintir mereka yang 'lari' kerana dibuai oleh janji kosong pembangkang yang hanya berceramah sepanjang masa. Tapi bagi kita, Umno dan BN, kita membuat kerja dan tidak hanya bercakap kosong sahaja. Kerja kita selain membantu kebajikan dan kesejahteraan rakyat, kita turut memastikan pembangunan negeri dan negara termasuk infrastruktur dan kemudahan awam berjalan lancar, baik di bandar dan luar bandar," katanya.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Umno Bahagian Kuala Pilah dan pengerusi B NParlimen Kuala Pilah itu berkata semua pihak perlu mengurangkan 'cakap-cakap' soal calon dan menyerahkan perkara itu kepada presiden parti Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menentukannya.

"Di Kuala Pilah, kita telah membuat akujanji di mana kita mengurangkan cakap soal calon, tapi banyak bercakap soal usaha bagaimana kita memperkuat jentera parti dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang. Yang penting kita sokong sesiapa juga yang dicalonkan," katanya.

Katanya dalam usaha menghadapi pilihan raya umum akan datang, sebanyak 55 Pusat Daerah Mengundi (PDM) diwujudkan di Kuala Pilah dan ia telah digerakkan.

"Kita sudah bersedia menghadapi pilihan raya umum akan datang. Saya dapati BN di Kuala Pilah ini cukup mantap di mana kita sentiasa mengadakan pelbagai program sebagaimana slogan kita Bersatu, Bersetia dan Berkhidmat," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain