suria

Sepasang Kekasih Dipercayai Pengedar Dadah Diberkas

KUANTAN: Sepasang kekasih berjaya diberkas selepas dipercayai terbabit dalam pengedaran dadah di Taman Amalina Lestari, dekat Raub.

Dalam kejadian 2.30 pagi semalam itu, sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Raub membuat serbuan ke rumah berkenaan selepas menerima maklumat awam.

Ketua Polis Daerah Raub, Supt Wan Samsudin Wan Osman berkata lelaki berkenaan berusia 50 tahun sedang berada di ruang tamu bersama teman wanitanya, 30, yang berasal dari China.

"Lelaki terbabit dan teman wanitanya, seorang warganegara China cuba bertindak agresif bagi melarikan diri, bagaimanapun berjaya diberkas," katanya ketika dihubungi di sini, Rabu.

Beliau berkata hasil pemeriksaan, polis menemui lebih 1,000 biji pil Eramine 5 (E5) bersama 37 karton rokok seludup di dalam rumah berkenaan.

"Polis turut menemui 110 lagi pil E5 yang disembunyikan di dalam kenderaan pacuan empat roda milik lelaki terbabit serta peralatan menghisap dadah," katanya.

Beliau berkata semua barangan yang dirampas itu dianggarkan bernilai lebih RM10,000.

Menurutnya, lelaki terbabit yang dipercayai pengedar secara kecil-kecilan di daerah ini juga pernah ditangkap beberapa kali atas kesalahan jenayah dan dadah sebelum ini dan pernah dipenjarakan.

Beliau berkata kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain