suria

Polis Tidak Galakkan Aktiviti Rekreasi Kerana Cuaca Tak Menentu

BESUT: Polis tidak menggalakkan sebarang aktiviti rekreasi secara berkumpulan di Pulau Perhentian, mendaki Gunung Tebu dan mandi-manda di kawasan Air Terjun di daerah Besut kerana cuaca yang tidak menentu sekarang.

Ketua Polis Daerah Besut Supt Kamaruddin Zakaria berkata cuaca yang sukar diramalkan sekarang boleh mengundang perkara yang tidak diingini kepada pelawat sekiranya mereka mengadakan aktiviti rekreasi.

Katanya pelawat perlu berhati-hati dan berwaspada bagi mengelak kejadian atau malapetaka dengan mematuhi nasihat serta panduan daripada pihak berkuasa.

"Walaupun pada dasarnya cuaca di negeri Terengganu kelihatan cerah tetapi hujan lebat dan ribut petir yang berlaku sekali-sekala boleh mengundang bahaya," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau meminta orang ramai terutamanya pelawat dari luar Terengganu mendapatkan nasihat sebelum membuat perancangan terutamanya untuk ke Pulau Perhentian kerana terpaksa merentasi lautan selama 45 minit perjalanan bot.

Kamaruddin berharap pelawat dapat mengadakan lawatan di lokasi daratan bagi mengelak risiko bencana di laut. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain