suria

Polis Digesa Nilai Semula Prosedur Berhubung Tahanan

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden Gerakan Datuk Chang Ko Youn menggesa polis meneliti semula prosedurnya bagi memastikan kes tahanan melarikan diri tidak berulang.

Sambil menyifatkan kes dua warga Columbia dan seorang wanita Zambia melarikan diri daripada tahanan polis sebagai satu lagi insiden memalukan pasukan itu, Chang berkata polis mesti mengenal pasti punca kejadian.

"Saya menggesa polis agar melakukan siasatan segera bagi mengesan apa yang tidak betul dan mengenakan tindakan tegas kepada yang bertanggungjawab pada kadar segera," katanya dalam kenyataan, di sini.

Chang yang juga Pengerusi Biro Hak Asasi Manusia dan Undang-undang Gerakan, berkata tindakan itu bukan sahaja bagi memulihkan keyakinan orang awam tetapi juga mengembalikan reputasi Malaysia sebagai tempat yang selamat di mata orang asing.

Kelmarin, dua lelaki Columbia, Martin Rodriguez Yerson David, 26 dan Sana Bria Florian Jorge Luis, 22 meloloskan diri daripada tahanan polis ketika dibawa ke mahkamah di Petaling Jaya.

Pada hari yang sama, wanita Zambia, Betty Chilleshe, 37, melarikan diri daripada kawalan polis dengan menaiki kereta. Dia sepatutnya didakwa bersabit kes dadah. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain