suria

Pemuda Perak Bantu Lima Beranak Yang Hidup Bergelandangan

IPOH: Kehidupan lima beranak yang hidup bergelandangan setelah ketua keluarga hilang mata pencarian mendapat perhatian Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan (YBUDR) dan Pergerakan Pemuda Umno Ipoh Barat.

Mohd Jasmi Mt Yusof, 36, dari Kampung Pinang, Kamunting bersama-sama isterinya Azlinda Ahmad, 30, serta tiga anak mereka Nurul Allyana, 5, Nurul Alyssha, 3, dan Nurul Allyka berusia dua tahun diusir keluar dari rumah kerana gagal membayar sewa yang tertunggak lima bulan.

"Selama dua minggu saya dan keluarga berada di Kuala Lumpur, kami hanya menyewa sebuah bilik hotel bajet selama enam bulan dan membuat kerja-kerja sambilan bagi menampung perbelanjaan seharian sebelum ke Ipoh untuk mencari bantuan," katanya ketika ditemui pemberita di Rumah Pangsa Jalan Hospital di sini, Rabu.

Kata Mohd Jasmi, dia hilang punca pencarian selepas kaki kanannya cedera akibat terkena mata pemotong rumput sewaktu bekerja dan hanya mampu mengharap bantuan ihsan jiran terdekat sebelum dihalau keluar dari rumah sewa berkenaan.

Sementara itu Ketua Pergerakan Pemuda Umno Ipoh Barat Syamsul Baharin Putera Ahmad Shibi berkata Pemuda Umno bahagian bersama-sama YBUDR menyampaikan sumbangan berupa wang tunai RM500, barangan elektrik, keperluan rumah dan barangan dapur.

"Semalam, Jasmi dan keluarga datang ke pejabat YBUDR dan YBUDR telah mendapatkan sebuah rumah untuk disewa kepada keluarga Jasmi serta memberikan pekerjaan kepada isterinya di bahagian 'housekeeping' di sebuah hotel di sini untuk membantu perbelanjaan keluarga," katanya. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain