suria

M'sia Dan UK Setuju Adakan Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Keselamatan

KUALA LUMPUR: Malaysia dan United Kingdom (UK) bersetuju untuk mengadakan mesyuarat pertama jawatankuasa bersama tahun depan sebagai usaha memerangi penipuan siber dan jenayah ekonomi.

Keputusan itu dibuat semasa mesyuarat di antara Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein and Menteri di Pejabat Luar Negeri UK, Hugo Swire di London pada Rabu.

Hishammuddin kini berada di UK bagi lawatan kerja sehingga esok, menurut kenyataan Kementerian Dalam Negeri di sini, Khamis.

Kenyataan itu menyebut bahawa lawatan itu diadakan dalam lingkungan memorandum persefahaman bagi memerangi jenayah transnasional yang ditandatangani Hishammuddin dan rakan sejawatannya, Setiausaha Dalam Negeri UK Theresa May, di London, Julai tahun lepas.

Kenyataan itu berkata Hishammuddin dan Swire turut membincangkan bidang kerjasama lain bagi mengukuhkan keselamatan antara kedua-dua negara yang akan dilaksanakan tahun depan dan tahun berikutnya.

Semasa lawatan itu, Hishammuddin juga bertemu dengan kumpulan pakar keselamatan di UK dan melawat ibu pejabat Komunikasi Am dan agensi perisikan yang bertanggungjawab mengawal sistem komunikasi dan maklumat Kerajaan UK, yang berpangkalan di Gloucestershire. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain