suria

Mayat Bekas Anggota TLDM Dijumpai Selepas Seminggu Hilang

IPOH: Mayat seorang penyelam yang dikhuatiri lemas semasa menyelam di perairan Selat Dinding laluan utara kira-kira 1.17 batu nautika Barat Daya Tanjung Siagin, berhampiran Pulau Pangkor pada hujung bulan lepas ditemui pada Khamis.

Ketua Penguatkuasa Daerah Maritim 3 Lumut Kapten Abdul Razak Johan berkata mayat penyelam yang hilang seminggu lepas, Elias Mohd Yusof, 32, yang juga bekas anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dari Syarikat Sea Horse Underwater, dijumpai di perairan Pulau Pasir Hitam berhampiran Kuala Sepetang oleh nelayan.

"Nelayan tersebut dalam perjalanan pulang daripada menangkap ikan telah membuat laporan mengenai penemuan mayat ke Bilik Operasi Daerah Maritim 3 Lumut pada pukul 9 pagi tadi," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.

Beliau berkata sebuah bot kilat dari Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berpangkalan di Kuala Kurau diarahkan ke tempat mangsa dijumpai.

Katanya operasi mencari dan menyelamat mangsa dilakukan sejak 29 Nov dan ditangguhkan pada Sabtu lepas sehingga mendapat petunjuk baharu.

Abdul Razak berkata mangsa dipercayai lemas semasa sedang melakukan aktiviti menyelam di kawasan tukun kapal Ex Sri Inderapura bersama-sama seorang rakannya.

Bot nelayan yang membawa mayat mangsa diiringi masuk ke jeti Kuala Sepetang oleh bot kilat berkenaan dan mayat mangsa diserahkan kepada polis daerah Taiping untuk tindakan lanjut, katanya.

Elias yang mengenakan pakaian selam berwarna hitam dan tidak memakai balang gas sebaliknya menggunakan pemampat udara dilaporkan hilang ketika sedang menyelam di kawasan kapal Ex Sri Inderapura untuk pemeriksaan di bahagian belakang 'sterngate' kapal berkenaan.

Kehilangan mangsa disedari apabila rakan mangsa yang telah naik ke permukaan air mendapati mangsa tidak timbul di permukaan. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain