suria

Malaysia Selamat, Kes Jenayah Terhadap Pembantu Rumah Indonesia Terpencil - Diplomat

KUALA LUMPUR: Kes jenayah melibatkan majikan Malaysia terhadap pembantu rumah Indonesia adalah terpencil dan Malaysia adalah negara selamat untuk pekerja asing berbanding negara lain, kata seorang diplomat Indonesia di sini.

Menteri Penasihat Penerangan, Sosial dan Budaya, Kedutaan Indonesia di Malaysia, Suryana Sastraderedja berkata hanya 10 peratus kes melibatkan masalah keselamatan terhadap pekerja Indonesia di negara ini.

"Terdapat pelbagai kes seperti tidak dibayar gaji, penderaan dan sebagainya, bagaimanapun ia adalah kes terpencil dan sedikit memandangkan jumlah pekerja Indonesia di negara ini lebih besar dan ia bukan satu masalah untuk pekerja Indonesia datang bekerja di sini," katanya kepada Bernama Radio24 menerusi Program Dalam Radar, semalam.

"Saya tidak pernah mengeluarkan kenyataan bahawa Malaysia adalah negara tidak selamat, cuma Malaysia tidak 'selamat' dari sudut gaji kerana sama sekali berbeza dengan negara lain seperti Singapura yang memberi bayaran lebih tinggi," katanya.

Suryana berkata walaupun begitu masih ramai pekerja Indonesia yang terus bekerja di negara ini berikutan hubungan baik majikan terhadap mereka termasuk mendapat layanan seperti keluarga.

Sebelum ini agensi berita asing AFP melaporkan Suryana sebagai berkata pembantu rumah Indonesia perlu mengelak daripada bekerja di Malaysia.

Ia berikutan skandal terbaru yang menyaksikan 105 wanita asing dikurung dan dipaksa bekerja tanpa dibayar gaji di Klang, Selangor.

Bagaimanapun, Suryana menyangkal dakwaan dan berita yang dikeluarkan AFP itu. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain