suria

Lelaki Maut Ditembak Di Warung Di Batu Caves

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki peniaga besi buruk maut selepas ditembak seorang lelaki tidak dikenali di sebuah warung di hadapan kilang Simen YTL Batu Caves, dekat sini, Khamis.

Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak, Supt Rosly Hassan berkata, ketika kejadian 12.30 pagi, M Siva Murugesan, 32, dari Kampung Wira Damai Jalan Sri Gombak sedang minum bersama seorang rakan di warung berkenaan telah didatangi seorang lelaki yang tidak dikenali.

"Suspek yang memakai topeng ski, berseluar jeans warna biru, kemeja-T warna putih belang biru serta berkulit gelap.

"Ketinggian suspek lebih kurang 175cm dan berbadan tegap, datang ke arah mangsa dan melepaskan tiga das tembakan ke arahnya," kata beliau kepada Bernama ketika dihubungi di sini, Khamis.

Beliau berkata mangsa meninggal dunia di tempat kejadian selepas terkena tembakan di bahagian dada, perut dan kedua-dua tangan.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Selayang dan pihak hospital memaklumkan kepada polis mengenai kejadian tersebut selepas mendapati mangsa meninggal dunia akibat terkena tembakan.

Rosly berkata kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan polis kini masih memburu suspek terbabit. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain