suria

Kurung Wanita: Pengurus Besar Agensi Pembantu Rumah Ditahan Reman

KLANG: Warga tempatan berusia 49 tahun, pada Khamis, menyerah diri kepada pihak berkuasa imigresen dan ditahan reman selama dua hari berhubung 105 pembantu rumah asing yang dikurung dan dijadikan tawanan di sebuah agensi pembantu rumah di Bandar Baru Klang dan diselamatkan pada 1 Disember baru-baru ini.

Lelaki itu, yang memakai t-shirt berwarna merah jambu dan seluar panjang hitam dikatakan memegang jawatan sebagai pengurus besar agensi pembantu rumah berlesen berkenaan dan suspek ke-13 yang ditahan oleh Jabatan Imigresen Selangor.

Lelaki itu diiring Jabatan Imigresen ke Mahkamah Majistret di sini pada pukul 11 ​​pagi, Khamis.

Majistret Suhaimah Mohd Nor mengeluarkan perintah tahanan reman.

Pegawai Imigresen menyelamatkan 105 wanita asing yang didapati dikunci di dalam sebuah bangunan agensi pembantu rumah empat tingkat di Bandar Baru Klang di sini semasa serbuan pada pukul 7.47 pagi, Sabtu lalu.

Wanita-wanita yang berusia antara 18 dan 25 tahun telah dikurung di tingkat tiga dan empat premis yang terletak di bahagian atas pejabat agensi pembantu rumah.

Kesemua mereka - 95 dari Indonesia, enam dari Filipina dan empat dari Kemboja hanya mempunyai pas lawatan sosial dan dipercayai telah memasuki negara ini dalam tempoh satu hingga enam bulan lepas.

Pihak berkuasa menahan 12 orang, termasuk tiga lelaki tempatan, yang dipercayai pekerja di situ.

Selebihnya adalah lima wanita Indonesia, tiga Kemboja dan Filipina - yang dipercayai menjadi penyelia terhadap wanita-wanita yang diselamatkan.

Siasatan awal menunjukkan semua wanita yang diselamatkan telah dijanjikan pekerjaan lain tetapi telah ditipu.

Mereka akhirnya menjadi pembantu rumah yang menyediakan perkhidmatan pembersihan harian dan tidak dibayar selama enam bulan.

Kesemua wanita yang diselamatkan turut mendakwa mereka dikasari selain makanan dicatu oleh agensi berkenaan serta ada antara mereka yang dipaksa makan kertas setiap kali cuba melawan atau menuntut hak mereka.

Kesemua wanita terbabit diselamatkan mengikut Seksyen 44(1) Akta Anti Pemerdagangan dan Anti Penyeludupan Migran 2007 (Akta 670) serta dihantar ke Rumah Perlindungan Bukit Ledang, Damansara sebelum dihantar pulang ke negara masing-masing.

Lelaki tempatan dan wanita yang dipercayai penyelia kepada kumpulan wanita terbabit ditahan mengikut Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 (Akta 670) dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak melebihi 15 tahun dan boleh didenda.

Artikel Berikut

Artikel Lain