suria

Siasat Segera Kes Penderaan Wanita Asing - Wanita BN

KUALA LUMPUR: Pihak berkuasa digesa menjalankan siasatan segera dan terperinci berhubung kes wanita asing dikurung serta dipaksa bekerja tanpa dibayar gaji di Klang, Selangor baru-baru ini.

Pengerusi Wanita Barisan Nasional Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata tindakan tegas harus diambil kepada pihak terlibat jika terbukti melakukan penderaan ke atas wanita-wanita tersebut dan melakukan aktiviti pemerdagangan manusia.

Bercakap dalam sidang media hari ini, Shahrizat yang juga Ketua Pergerakan Wanita Umno, berkata skandal terbaru itu bukan hanya melanggar undang-undang negara malah boleh mencetuskan masalah diplomasi.

"Kita tidak mahu disebabkan perbuatan mereka, hubungan baik Malaysia dengan negara-negara dari mana pekerja asing ini datang akan terjejas. Kita berharap agensi-agensi lain akan pastikan perkara ini tidak berulang," katanya.

Sabtu lepas, Jabatan Imigresen Selangor cawangan Pelabuhan Klang menyelamatkan 105 wanita warga asing yang dikurung di premis empat tingkat sebuah syarikat agensi pembantu rumah, di Bandar Baru Klang.

Bekas menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat itu berkata pihaknya memandang berat isu pemerdagangan manusia terutama melibatkan wanita, dan menggesa pihak berkuasa bertindak menggunakan Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007 untuk menyiasat kes berkenaan.

Beliau turut meminta kerajaan sentiasa mengawalselia agensi pembantu rumah asing dan memastikan mereka mematuhi undang-undang selain tidak mengabaikan kebajikan warga asing di bawah kendalian mereka.

"Kalau perlu kita akan hantar memorandum kepada kerajaan minta mereka lihat semula bagaimana agensi-agensi ini beroperasi di Malaysia. Mungkin dah tiba masanya disemak semula," tegasnya.

Berhubung amaran kerajaan Indonesia yang meminta rakyatnya tidak bekerja sebagai pembantu rumah di Malaysia, Shahrizat berkata isu tersebut memerlukan kerjasama dua hala dan memohon wakil kedua-dua negara untuk berbincang mengenainya.

Beliau turut menasihati majikan agar berwaspada dan mengikuti prosedur undang-undang dalam mengambil pembantu rumah warga asing agar tidak terjebak dalam penipuan oleh agensi.BERNAMA

Artikel Lain