suria

Sebutan Semula Kes Culik Nayati 13 Disember

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa menetapkan 13 Disember bagi sebutan semula kes tiga sahabat yang dituduh menculik kanak-kanak warga Belanda, Nayati Shamelin Moodliar, 12, pada April lepas.

Timbalan pendaftar Mahkamah Tinggi Noor Aini Yusof menetapkan tarikh berkenaan pada prosiding pengurusan kes itu hari ini bagi membolehkan pihak pendakwaan menyerahkan dokumen berkaitan kepada mahkamah.

Chong Tat Siong, 23, bekerja sendiri, penjual telefon bimbit Foong Khar Fai, 19, penganggur Lee Phak Seng, 23, dan seorang lagi yang masih bebas, dituduh menculik kanak-kanak berkenaan di Jalan Kiara 1, Mont Kiara, 7.30 pagi pada 27 April lepas.

Kesemua mereka menghadapi tuduhan mengikut Seksyen 3 Akta Culik 1961 yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan, jika sabit kesalahan. Chong dan Foong diwakili peguam Rejinder Singh, manakala peguam K.T. Wong mewakili Lee.

Nayati dibebaskan penculiknya di kawasan rehat dan rawat Sungai Buloh, Lebuhraya PLUS pada 7.55 pagi 3 Mei, seminggu selepas diculik di hadapan Sekolah Antarabangsa Mont Kiara, di sini. - BERNAMA

Artikel Lain