suria

PPZ-MAIWP Catat Kutipan Zakat RM311.8 Juta Untuk Jan-Nov Tahun Ini - Jamil Khir

PUTRAJAYA: Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) mencatatkan kutipan keseluruhan zakat yang memberangsangkan untuk Januari hingga November tahun ini iaitu sebanyak RM311.8 juta.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata jumlah itu meningkat sebanyak 13 peratus berbanding kutipan bagi tempoh yang sama tahun lepas iaitu RM276.7 juta.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis penyerahan zakat Kumpulan Tradewinds (M) Berhad kepada PPZ-MAIWP yang diterima beliau sendiri selaku Pengerusi MAIWP, di sini hari ini, beliau berkata jumlah itu hampir mencapai sasaran keseluruhan PPZ-MAIWP sebanyak RM360 juta menjelang akhir tahun ini.

Kumpulan Tradewinds menyerahkan bayaran zakat perniagaan 2011 secara berpusat bersama anak syarikatnya Tradewinds (M) Berhad, Tradewinds Plantation Berhad dan Padiberas Nasional Berhad sebanyak RM4.2 juta (RM4,227,567.00).

Sementara itu Jamil Khir berkata selain peningkatan kutipan zakat, bilangan pembayar zakat di PPZ-MAIWP untuk tempoh Januari hingga November tahun ini juga meningkat kepada 102,291 berbanding 89,441 pembayar bagi tempoh yang sama tahun lepas.

Mengenai zakat perniagaan, beliau berkata sehingga kini PPZ-MAIWP berjaya mencatat kutipan sebanyak RM51.6 juta untuk tempoh 11 bulan pertama tahun ini melibatkan 1,369 pembayar berbanding RM46.6 juta bagi tempoh sama tahun lepas dengan 1,211 pembayar.

Menurutnya usaha untuk menggalakkan lebih banyak syarikat membayar zakat perniagaan akan terus dijalankan antaranya dengan mengadakan majlis penerangan atau mengedarkan risalah mengenainya.

"Kutipan zakat yang meningkat saban tahun ini akan membantu menyemarakkan lagi usaha kita untuk membantu golongan asnaf dan fakir miskin di Wilayah Persekutuan," katanya.

Dalam pada itu beliau berkata pada bulan ini, kaunter zakat PPJ-MAIWP akan dibuka setiap hari termasuk Sabtu dan Ahad bermula 8.15 pagi hingga 4.45 petang untuk kemudahan pembayaran zakat. BERNAMA

Artikel Lain