suria

Polis Buru Dua Suspek Kes Rogol Dan Samun

KUALA LUMPUR: Polis menggiatkan usaha mengesan dua lagi suspek dalam kes rogol dan samun di sebuah pusat refleksologi di Jalan Genting Klang, Setapak di sini, pada 25 November lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah berkata polis sudah mengenal pasti kedua-duanya yang berusia 19 dan 21 tahun.

"Dua rakan jenayah mereka yang berusia dalam lingkungan 20-an sudah ditangkap pada Khamis dan Ahad lepas di Sri Rampai dan Setapak," katanya pada sidang media, di sini, Rabu.

Dalam kejadian awal pagi itu, empat lelaki menyamun dan merogol dua pekerja wanita warga Vietnam manakala pemilik premis cedera di telinga setelah ditetak seorang suspek yang bersenjatakan parang.

Ku berkata polis juga sedang memburu dua lelaki yang dipercayai terbabit dalam kejadian samun bersenjatakan parang di kedai 24 jam di sekitar Sentul dan Cheras sejak September lepas.

Modus operandi mereka ialah menyamun pada awal pagi ketika pekerja bersendirian, katanya dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian atau mengenali suspek agar tampil di balai polis berdekatan bagi membantu siasatan. -BERNAMA

Artikel Lain