suria

Malaysia, Singapura Umum Cadangan 'Menang-Menang' Tahun Depan - PM

JOHOR BAHARU: Malaysia dan Singapura dijangka mengumumkan cadangan "menang-menang" bagi kedua-dua negara pada Perundingan Tahunan tahun depan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Selasa.

Beliau berkata cadangan-cadangan itu termasuklah mercu tanda ikonik, yang akan dibina di atas dua bidang tanah, yang merupakan sebahagian daripada Perkara Perjanjian (POA) sebagai pertukaran bagi tanah Keretapi Tanah Melayu di Singapura.

"Projek pusat kesejahteraan itu akan juga dilancarkan semasa Perundingan Tahunan kita itu. Kita boleh menjangkakannya diadakan sama ada pada akhir Januari atau awal Februari," katanya pada satu sidang akhbar sempena Forum Ekonomi Islam Sedunia (WIEF) Kelapan di sini.

Najib berkata demikian ketika menyentuh isu-isu yang dibincangkan semasa mesyuarat dua hala beliau dengan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Singapura, Tharman Shanmugaratnam, semasa berlangsungnya forum itu.

"Mesyuarat itu berjalan dengan amat baik. Amat positif, sangat sejajar dengan apa yang diperkatakan oleh Perdana Menteri Lee Hsien Loong kepada saya di Phnom Penh baru-baru ini bahawa kita harus buat cadangan 'menang-menang'," kata beliau.

Menurut Najib, semasa mesyuarat selama 15 minit itu, mereka membincangkan projek kereta api berkelajuan tinggi.

"Singapura menyokong projek itu pada prinsipnya, tetapi tertakluk kepada kajian terperinci yang akan kita kemukakan kepada mereka apabila selesai kelak.

"Mereka menjangka ini boleh menjadi satu lagi cadangan 'menang-menang' bagi kedua-dua negara," katanya.

Najib, yang juga Menteri Kewangan, berkata Singapura akan terus menjadi hab bagi pembangunan komersial dan kewangan, manakala selatan Johor akan menjadi kawasan gaya hidup berkualiti tinggi.

"Ini boleh menjadi situasi 'menang-menang' kerana Johor meraih manfaat daripada kebanjiran orang, bakat dan pengaliran masuk modal. Ini baik bagi masa depan Johor," katanya.

Selain Tharman, Najib juga mengadakan rundingan dua hala dengan Presiden Comoros, Dr Ikililou Dhoinine.

Perdana Menteri berkata semasa mesyuarat itu, Comoros menyuarakan harapannya untuk mendapatkan lebih banyak pelaburan asing dalam kegiatan pelancongan dan hiliran berhubung industri perikanan.

Malaysia menawarkan tempat-tempat untuk melatih warganya di bawah Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP).

Comoros ialah sebuah negara kepulauan berdaulat di Lautan Hindi dan negara ketiga terkecil Afrika berdasarkan keluasan, dengan penduduk berjumlah kira-kira 798,000 orang. - BERNAMA

Artikel Lain