suria

Majikan Perlu Waspada Agensi Pekerja Asing

KUALA LUMPUR: Majikan diminta sentiasa berwaspada dengan menyelidik latar belakang agensi pekerja asing terlebih dahulu sebelum membuat sebarang pembayaran bagi mengelak daripada ditipu.

Presiden Persatuan Agensi Pembantu Rumah Asing Malaysia (PAPA) Jeffrey Foo berkata majikan seharusnya lebih berhati-hati memandangkan mereka terpaksa membayar sejumlah wang yang besar bagi mendapatkan seorang amah namun ia bukan alasan untuk mereka mudah mempercayai mana-mana agensi.

"Merujuk kes terbaharu di Klang yang mana ramai amah warga asing diselamatkan pihak berkuasa daripada dikurung oleh sebuah agensi pekerja asing, menyebabkan ramai majikan yang telah membuat bayaran tidak mendapat amah seperti yang dijanjikan," katanya pada sidang media di sini Rabu.

Beliau berkata banyak aduan yang diterima pihaknya meminta bantuan menuntut kerugian itu namun ia sukar dilakukan kerana agensi pekerja asing itu tidak berdaftar dengan PAPA malah tiada pula bukti pembayaran sebagai rujukan.

Beliau menasihati majikan yang terlibat segera membuat laporan polis sebagai tindakan selanjutnya.

Pada Sabtu lalu, media tempatan melaporkan seramai 95 wanita Indonesia, enam wanita Vietnam dan empat wanita Kemboja yang bekerja sebagai amah harian dan tukang cuci diselamatkan pihak berkuasa selepas mereka dikurung agensi pekerja asing di sebuah premis di Klang.

Foo berkata pihaknya sedang berbincang dengan Kementerian Sumber Manusia untuk membantu majikan di negara ini mendapatkan amah dengan cara yang lebih mudah dan pada kadar yang sewajarnya.

Katanya tempoh masa yang lama menjangkau lima ke enam bulan dan kos memproses dokumen amah yang tinggi menyebabkan ramai majikan terdesak terpaksa menggunakan alternatif lain yang menjadikan mereka mudah ditipu.

Mengulas kenyataan Menteri Kaunselor Penerangan, Sosial dan Kebudayaan di Kedutaan Besar Indonesia Suryana Sastradiredja di akhbar tempatan hari ini, Foo berkata sekiranya kerajaan negara itu tidak lagi mahu menghantar rakyatnya bekerja di sini, ia terpulang kepada hak masing-masing.

"Kita ambil pekerja negara itu untuk kesenangan kedua-dua pihak namun jika kesefahaman dicapai dan mereka tidak lagi mahu datang bekerja di sini, terpulanglah," katanya.

Akhbar itu melaporkan Sastradiredja berkata rakyat Indonesia boleh memilih tidak bekerja di negara ini jika gaji yang ditawarkan lebih rendah berbanding negara lain.

Foo turut mengambil kesempatan menasihati mana-mana majikan yang telah mengambil amah agar sentiasa menghormati dan menjaga mereka bagi menyenangkan kedua-dua pihak tanpa berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini. BERNAMA

Artikel Lain