suria

Lynas: Mahkamah Tetapkan 7 Disember Dengar Permohonan Penduduk

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan menetapkan Jumaat ini (7 Disember) untuk mendengar permohonan tiga penduduk Kuantan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Kuantan yang menolak permohonan injunksi interim ke atas Lesen Operasi Sementara (TOL) yang diberi kepada kilang nadir bumi Lynas Advanced Material Plant (LAMP).

Tiga penduduk itu mengemukakan permohonan perintah penggantungan sementara itu di Mahkamah Rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Kuantan pada 8 Nov yang menolak permohonan mereka supaya mahkamah itu menangguhkan sementara TOL sehingga permohonan semakan kehakiman mereka didengar.

Peguam Gene Vendargon, yang mewakili penduduk berkata pendaftar Mahkamah Rayuan menetapkan tarikh itu hari ini berikutan permohonan interim itu yang difailkan pada 29 Nov mengikut Seksyen 44 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 disertakan sekali sijil kesegeraan.

Katanya beliau menerima salinan notis usul dan afidavit sokongan daripada pendaftar Mahkamah Rayuan, Selasa.

Tiga penduduk itu ialah Tan Bun Teet, 64, Syed Talib Syed Sulaiman, 60, dan Hasimah Ramli, 44, memfailkan notis rayuan (terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuantan) pada 9 November lepas.

Permohonan semakan kehakiman untuk membatalkan keputusan Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) mengeluarkan TOL kepada LAMP, ditetapkan 5 Feb yang akan didengar oleh Mahkamah Tinggi Kuantan.

Pada 8 November, hakim Mahkamah Tinggi Mariana Yahya menolak permohonan penduduk itu untuk penangguhan TOL sementara menunggu permohonan semakan kehakiman mereka. - BERNAMA

Artikel Lain