suria

Hospital Shah Alam Dijangka Beroperasi Oktober Depan - Shaziman

Liow (dua kanan) bersama Shaziman (dua kiri) membuat lawatan ke tapak projek Hospital Shah Alam bagi membuat tinjauan perkembangan pembinaan Hospital Shah Alam, Selasa. -fotoBERNAMA
Liow (dua kanan) bersama Shaziman (dua kiri) membuat lawatan ke tapak projek Hospital Shah Alam bagi membuat tinjauan perkembangan pembinaan Hospital Shah Alam, Selasa. -fotoBERNAMA
Liow (dua kanan) bersama Shaziman (dua kiri) membuat lawatan ke tapak projek Hospital Shah Alam bagi membuat tinjauan perkembangan pembinaan Hospital Shah Alam, Selasa. -fotoBERNAMA

SHAH ALAM: Bangunan utama Hospital Shah Alam di Seksyen 7 di sini telah siap sepenuhnya dan dijangka boleh beroperasi pada Oktober tahun depan, kata Menteri Kerja Raya Datuk Seri Shaziman Abu Mansor.

Beliau berkata pada masa ini kerja-kerja menyiapkan kuarters serta aspek teknikal dan mekanikal pada bangunan hospital sedang dijalankan.

Bagi memastikan hospital itu dapat siap dan beroperasi sepenuhnya mengikut tarikh yang ditetapkan, kementerian menghantar satu pasukan khas bagi membantu kontraktor, katanya kepada pemberita selepas meninjau projek itu, Selasa.

Projek pembinaan Hospital Shah Alam dengan kos kontrak RM482.6 juta dimulakan pada 15 Nov 2007 dan sepatutnya siap pada 25 Jun 2011. Namun, projek itu tergendala selepas kontraktor terbabit gagal melaksanakannya. Mengulas lanjut, Shaziman berkata kerja pembinaan dijalankan oleh kira-kira 750 pekerja.

Dalam pada itu, Shaziman berkata Jabatan Kerja Raya (JKR) memberi jaminan semua projek hospital dan klinik kesihatan yang dalam pembinaan di bawah kendalian agensi itu akan disiapkan mengikut jadual.

"Melalui JKR, Insya-Allah hospital-hospital lain akan siap mengikut jadual termasuklah Hospital Wanita dan Kanak-kanak di Seremban (Negeri Sembilan), Klinik Kesihatan Bahau (Negeri Sembilan), klinik kesihatan di Changlun (Kedah) dan klinik kesihatan di Kompleks Paka (Terengganu)," katanya.

Sementara itu, Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai berpuas hati dengan perkembangan projek pembangunan hospital itu dan yakin hasil kerjasama kementeriannya dan JKR dapat memastikan projek hospital tersebut disiapkan dalam waktu yang ditetapkan.

"Hospital ini penting untuk penduduk di sekitar Shah Alam, adanya hospital ini mampu untuk menampung jumlah pesakit yang ramai serta mengatasi beberapa kekangan yang wujud di Hospital Tuanku Ampuan Rahimah, Klang," katanya yang turut serta dalam lawatan itu. - BERNAMA

Artikel Lain