suria

Dua Didenda RM1,000 Selepas Mengaku Salah Curi Tong Sampah

JOHOR BAHARU: Dua lelaki didenda RM1,000 seorang oleh Mahkamah Majistret di sini Rabu, selepas mengaku bersalah mencuri satu tong sampah di kawasan rumah pangsa di Ulu Tiram hujung bulan lepas.

Majistret Hafizah Johor Arif Johor turut memerintahkan Romzul Hadi, 32, yang merupakan rakyat Indonesia dan Mohd Hanafi Aziz, 27, dipenjara selama dua bulan jika gagal membayar denda berkenaan.

Kedua-dua mereka dituduh mencuri tong sampah bernilai RM1,000 milik rumah pangsa itu di Blok C, Rumah Pangsa Orkid, Jalan Kenanga 4, Taman Desa Cemerlang, Ulu Tiram, kira-kira pukul 5.33 petang, 24 November lepas.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang boleh dipenjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Berdasarkan fakta kes, kedua-dua tertuduh mencuri tong sampah yang diletakkan di rumah pangsa itu sebelum menjualnya kepada sebuah premis barangan lusuh.

Mereka ditahan selepas kamera litar tertutup (CCTV) yang diletakkan di rumah pangsa berkenaan berjaya merakamkan kejadian tersebut.

Terdahulu, Romzul Hadi memohon mahkamah mengurangkan hukuman dengan alasan menanggung ibu yang sudah tua manakala Mohd Hanafi menanggung tiga anak yang masih kecil.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Khazrin Haffiz Khalil manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam. -BERNAMA

Artikel Lain