suria

BN P. Pinang Mahu Rumah PPR Dibina Di Tmn Manggis

Ketua Pemuda BN negeri Oh Tong Keong berkata keputusan itu dibuat pada mesyuarat baru-baru ini dan ia sekaligus menolak cadangan Pengarah Taman Manggis Fasa 2 Development Sdn Bhd, Khoo Boo Soon yang mahu membina rumah mampu milik di atas tanah seluas 0.45 hektar itu.

"Keputusan kami muktamad iaitu bina PPR untuk membantu rakyat negeri ini dan ia selaras dengan tujuan asal BN membeli semula tanah terbabit," katanya pada sidang akhbar di sini, Rabu.

Dalam kertas cadangan itu, Khoo menyatakan pihaknya akan membina rumah mampu milik dengan harga jualan RM400 sekaki persegi.

Cadangan pembinaan melibatkan bangunan 22 tingkat yang terdiri daripada dua jenis kediaman mampu milik dan 11 unit kedai yang akan diserahkan kepada Majlis Perbandaran Pulau Pinang, taman rekreasi dan 250 tempat letak kereta.

Sementara itu, Oh berkata pihaknya bersedia membuat bayaran penuh tanah di Taman Manggis itu jika kerajaan negeri menyediakan perjanjian jual beli.

Katanya pihaknya juga telah menyediakan duit baki untuk tanah berkenaan iaitu sebanyak RM20 juta.

"Kalau nak lanjut (tempoh bayaran) sampai setahun pun tiada guna sebab kerajaan negeri memang tidak jujur untuk jual tanah itu, sampai sekarang tiada perjanjian jual beli tanah, jadi macam mana mereka mahu jual," katanya.

Tanah berkenaan sepatutnya dibina dengan projek PPR fasa kedua namun dijual kerajaan negeri kepada Kuala Lumpur International Dental Centre Sdn Bhd (KLIDC) bagi projek pembinaan hotel 19 tingkat, enam tingkat hospital persendirian dan lima tingkat tempat letak kereta.

Pada 4 Sept lalu, Pemuda BN negeri menerima surat tawaran daripada Setiausaha Politik Ketua Menteri, Ng Wei Aik untuk membeli tanah seluas 0.45 hektar itu dengan harga jualan RM450 sekaki persegi.

Tawaran itu disahut Pemuda BN negeri bagi menyelamatkannya daripada jatuh ke tangan pemaju swasta dengan bayaran wang pendahuluan satu peratus iaitu sebanyak RM224,073 pada 3 Oktober lalu. -BERNAMA

Artikel Lain