suria

Ahli Umno Perlu Sokong Calon Yang Dipilih Untuk Menang Majoriti 2/3 - Tun Mahathir

BENTONG: Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyeru semua anggota Umno agar menyokong sesiapa sahaja yang dipilih oleh parti menjadi calon pada Pilihan Raya Umum ke-13 kelak.

Langkah itu, katanya bagi memastikan perpaduan dalam Umno dan Barisan Nasional (BN) dapat dikekalkan, sekali gus menguatkan BN dan memastikan kemenangan dua pertiga dapat dicapai. "Saya mohon agar semua anggota Umno bersatu dan rapatkan barisan dan menyokong sesiapa sahaja calon yang dipilih parti. "Sama ada matanya sepet sebelah atau hidung penyek, sokonglah mereka dalam memastikan kemenangan dua pertiga pada PRU-13 kelak," katanya ketika sesi soal jawab pada majlis Bicara Tokoh bersama rakyat di Felda Kemasul, dekat sini, Rabu.

Dr Mahathir berkata sokongan orang Melayu telah berkurangan akibat perpecahan yang berlaku di dalam parti sehingga menyebabkan Umno, parti yang mewakili orang Melayu di negara ini kalah teruk pada pilihan raya umum 2008.

Justeru, katanya Umno dan parti komponen BN perlu terus berdampingan dengan rakyat agar rakyat terus memberi sokongan. "Saya juga lihat sokongan terhadap Umno semakin meningkat pada Perhimpunan Agung Umno 2012 baru-baru ini apabila ramai perwakilan dan anggota yang memberi perhatian dan respons yang cukup baik terhadap ucapan dan amanat yang disampaikan oleh Presiden (Datuk Seri Najib Tun Razak).

"Saya harap sokongan itu dapat diterjemahkan dengan memberi sokongan kepada parti dan memastikan BN menang pada PRU-13 kelak," katanya pada sesi soal jawab selama satu setengah jam itu. -BERNAMA

Artikel Lain