suria

Polis Tahan Dua Lelaki, Rampas Dadah Bernilai RM28,800 Dan Pistol

KUALA LUMPUR: Dua lelaki disyaki pengedar dadah ditahan dalam dua serbuan di ibu negara pada Jumaat lepas, membabitkan rampasan pil Eramin 5 bernilai RM28,800 serta sepucuk pistol dan 16 butir peluru.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Amar Singh Ishar Singh berkata dalam serbuan pertama oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur pada 9 malam di Jalan Gelang off Jalan Pudu, polis menahan seorang lelaki berumur 42 tahun bersama 1,000 biji pil Eramin 5 dan 18.90 gram dadah jenis ketamin dalam sebuah kereta milik suspek.

"Hasil risikan polis sejak beberapa bulan lepas mendapati suspek menggunakan taktik beroperasi di hotel atau kediaman mewah di sekitar ibu kota sebelum memasarkan dadah berkenaan," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, Isnin.

Amar berkata dalam serbuan kedua pada 10 malam polis menahan seorang lelaki berusia 55 tahun serta merampas 420 biji pil Eramin 5 bersama sepucuk pistol jenis Glock 26 dan 16 peluru hidup di sebuah kondominium di Jalan Tun Razak yang dipercayai disewa suspek untuk menjalankan aktiviti pengedaran dadah.

Beliau berkata lelaki itu turut positif dadah dan polis kini menyiasat sama ada suspek mempunyai anggota kumpulan yang lain atau tidak.

"Kedua-dua suspek kini ditahan reman selama 14 hari dan mereka disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya dan Seksyen 8 Akta Senjata Api 1971," katanya.

Sementara itu, Amar berkata sepanjang tangkapan dan serbuan oleh JSJN Kuala Lumpur membabitkan rampasan dadah sejak Mei tahun ini menunjukkan trend pengedar menjadikan hotel serta kediaman mewah markas operasi selain memiliki senjata api, yang menunjukkan mereka berbahaya.

"Sejak Mei lalu, kita telah melakukan 10 tangkapan dan dari tempoh itu, sebanyak dua kes melibatkan rampasan senjata api, ini menunjukkan satu peningkatan berbanding tahun sebelumnya," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain