suria

Pelaburan Di P.Pinang Lembap - Mukhriz

GEORGE TOWN: Jumlah pelaburan di Pulau Pinang untuk enam bulan pertama tahun ini agak lembap dan menurun berbanding negeri-negeri lain, kata Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Datuk Muhkriz Tun Mahathir.

Beliau berkata jumlah pelaburan yang diluluskan sehingga Jun lepas hanya RM1.8 bilion dan angka itu jauh lebih rendah berbanding 2011 iaitu RM9.1 bilion.

"Tahun ini, Pulau Pinang jatuh di tangga ke lapan selepas Selangor, Sabah, Sarawak, Johor, Terengganu, Kuala Lumpur dan Perak, terdapat beberapa faktor menyebabkan perkara itu berlaku," kata beliau kepada pemberita selepas majlis taklimat Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), di sini, Selasa.

Beliau berkata antara penyebab pelaburan di Pulau Pinang berkurangan ialah industri elektrik dan elektronik yang agak perlahan di peringkat global sekarang ini.

"Bukan MIDA tidak mempromosikan Pulau Pinang kepada pelabur, tetapi kita tidak boleh memaksa mereka (pelabur) untuk pilih (negeri) lagipun kekuatan pelaburan di Pulau Pinang ialah industri elektrik dan elektronik dan bila di peringkat global industri itu sedikit lembap, sudah pasti akan memberi kesan.

"Selain itu, negeri-negeri lain seperti Terengganu dan Sarawak yang menawarkan pelaburan dalam industri minyak dan gas telah menarik minat mereka (pelabur asing)," katanya.

Muhkriz berkata kerajaan Negeri Pulau Pinang sebelum ini begitu berbangga kononnya membawa pelaburan yang paling banyak sedangkan usaha membawa masuk pelabur adalah usaha MITI dan MIDA.

"Sebelum ini, Ketua Menteri (Lim Guan Eng) mengumumkan mereka berjaya bawa masuk pelaburan sebanyak RM 10 bilion pada tahun 2010, sedangkan semua itu dibuat oleh kerajaan terdahulu iaitu Barisan Nasional(BN) kerana sesuatu pelaburan bukan mengambil masa yang singkat.

"MIDA terpaksa mengambil masa sehingga tiga atau empat tahun untuk menyakin pelabur melabur di negara kita, dan kejayaan itu (yang diumumkan Lim pada 2010) adalah usaha kerajaan BN. Mereka (BN) paling banyak membawa pelaburan semasa itu.

"Kalau betul mereka (kerajaan negeri sekarang) boleh bawa masuk pelabur mengapa sehingga Jun lepas hanya RM1.8 bilion sahaja pelaburan yang diluluskan di negeri ini, tahun 2012 sudah empat tahun mereka memerintah," katanya.

Sementara itu, Muhkriz berkata kestabilan politik penting untuk menarik pelabur dari luar negara untuk melabur di Malaysia termasuk negeri-negeri yang ditadbir pembangkang.

Beliau berkata apa yang dilakukan pembangkang seperti demonstrasi jalanan dan sebagainya telah mencemarkan imej Malaysia yang sebelum ini dikenali sebagai bersih dan selamat. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain