suria

Kewangan Islam Boleh Dikembangkan Lagi - PM

JOHOR BAHARU: Kewangan Islam, yang terus mendapat pengiktirafan dari luar dunia Islam, mempunyai potensi yang sangat besar untuk dikembangkan selanjutnya, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Selasa.

Beliau berkata kewangan Islam lebih mencerminkan ekonomi sebenar, kurang spekulasi, mewujudkan perkongsian dan kestabilan jangka panjang, dan merupakan sumber pembiayaan yang baik.

"Ia kurang digunakan berbanding pembiayaan konvensyenal, jadi, skop untuk membangunkan kewangan Islam amat luas dan hari ini, kita boleh lihat sudah ada pengiktirafan," kata Najib, yang juga Menteri Kewangan, pada satu sidang akhbar sempena Forum Ekonomi Islam Sedunia (WIEF) Kelapan 2012.

Najib berkata demikian bagi menjawab soalan tentang bagaimana Malaysia boleh menaikkan status kewangan Islam, terutamanya dengan peranannya sebagai peserta kewangan Islam terkemuka di dunia.

Beliau juga menyebut tentang ucapan khas Timbalan Perdana Menteri Singapura sebelum itu yang mengatakan bahawa kewangan Islam mempunyai masa depan yang amat cerah.

Sebelum itu, Shanmugaratnam berkata 10-15 tahun akan datang akan menawarkan peluang-peluang besar bagi pertumbuhan dan pempelbagaian kewangan Islam.

Beliau berkata, kewangan Islam berpotensi besar untuk digunakan dalam pelbagai bidang pertumbuhan baharu seperti pembiayaan perdagangan dan prasarana di Asia dan pasaran sedang muncul.

"Bidang-bidang baharu ini akan membolehkan bank-bank Islam mengurangkan pendedahan masing-masing kepada sektor hartanah dan mengambil kesempatan daripada potensi pertumbuhan ekonomi pasaran sedang muncul yang lebih kukuh," kata Shanmugaratnam, yang juga Menteri Kewangan.

Kata beliau, ada jurang yang perlu dihapuskan dalam pembiayaan perdagangan berstruktur dan dari sudut pembiayaan bagi projek-projek prasarana seiringan dengan perkembangan pasaran sedang muncul dan penggabungan kewangan global.

Bagaimanapun, kewangan Islam perlu mengatasi beberapa cabaran penting agar dapat menambah agihannya dalam kewangan global dan menyumbang kepada kewangan rentas sempadan, tegas beliau.

Ucapan khas oleh pemimpin-pemimpin juga disertai oleh Presiden Comoros, Dr Ikililou Dhoinine; Pengerusi Barisan Pembebasan Islam Moro, Al-Haj Murad Ebrahim; dan Presiden Bank Islam, Dr Ahmad Mohamed Ali. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain