suria

Dewan Negara Lulus Tiga Rang Undang-Undang

KUALA LUMPUR: Rang Undang-undang Pemindahan Antarabangsa Banduan 2012 adalah antara tiga rang undang-undang yang diluluskan Dewan Negara, Selasa.

Dua lagi ialah Rang Undang-undang Hakmilik Strata (Pindaan) 2012 dan Rang Undang-undang Keselamatan Sosial Pekerja (Pindaan) 2012 yang bertujuan meningkatkan had umur daripada 55 tahun kepada 60 tahun bagi kelayakan mendapat pencen ilat dan penakat.

Sementara itu, Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Lee Chee Leong ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Pemindahan Antarabangsa Banduan 2012, berkata akta itu yang bertujuan membawa balik banduan rakyat Malaysia yang ditahan di luar negara, hanya boleh dilaksana melalui hubungan bilateral kedua-dua negara yang bersetuju menandatangani perjanjian mengenainya.

"Sehingga kini, sebanyak 2,622 warga Malaysia termasuk 481 golongan wanita sedang dipenjarakan di 59 buah negara kerana pelbagai kesalahan termasuk dadah, kad kredit dan lain-lain.

"Secara keseluruhan, terdapat 99 buah negara di dunia melaksanakan sistem pemindahan antarabangsa banduan ini," katanya.

Lee berkata di penjara luar negara, banduan dari Malaysia terpaksa menjalani hukuman pemenjaraan mengikut acuan program pemulihan negara asing yang berbeza dari segi budaya, agama dan bahasa.

"Berjauhan dengan keluarga sedikit sebanyak mempengaruhi proses pemulihan dan pengintegrasian semula ke dalam masyarakat, oleh sebab itu ada keperluan Akta Pemindahan Antarabangsa Banduan diwujudkan," katanya.

Beliau berkata rang undang-undang itu juga membolehkan banduan warganegara asing dipindahkan ke negara asal.

"Statistik Jabatan Imigresen dan Polis Diraja Malaysia menunjukkan lebih 40,000 warganegara asing telah ditangkap dan didakwa pada setiap tahun kerana pelbagai kesalahan termasuk kesalahan di bawah Akta Imigresen dan kesalahan jenayah yang lain," katanya.

Sementara itu, Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Tan Sri Joseph Kurup ketika menggulung Rang Undang-undang Hakmilik Strata (Pindaan) 2012, berkata akta itu dijangka dapat mengatasi masalah permohonan dan pendaftaran hak milik strata bagi bangunan lama yang diduduki sebelum 1996.

Rang Undang-undang ini merupakan penambahbaikan kepada Akta Hakmilik Strata 1985 yang dipinda sebanyak empat kali iaitu 1990, 1996, 2001 dan terakhir pada 2007, katanya.

Beliau berkata selama 27 tahun pelaksanaan akta berkenaan, pentadbiran tanah di seluruh negara berjaya mendaftarkan lebih 970,000 hak milik strata yang mengandungi lebih daripada 15,000 skim bangunan berbilang tingkat.

Persidangan dewan disambung esok. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain