suria

Syarikat Penyedia AES Tiada Kuasa Pasang Kamera Sewenang-Wenangnya - Kong Cho Ha

SERI MANJUNG: Syarikat penyedia Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) tidak mempunyai kuasa untuk memasang sistem kamera berkenaan di mana-mana kawasan sewenang-wenangnya, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Cho Ha.

Beliau berkata sebaliknya pemasangan sistem itu tertakluk kepada pemerhatian, analisis dan kajian oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) serta berdasarkan data kemalangan dan cadangan pihak polis.

"Kita mempunyai kawasan tertentu yang telah dipastikan atau dicadangkan oleh polis berdasarkan data kemalangan yang pernah berlaku. Kawasan itu pula akan dikaji oleh MIROS, selepas itu barulah kita akan pastikan mana-mana tempat yang patut ada sistem itu," katanya kepada pemberita selepas menutup program 1Komuniti 1Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Dewan Merdeka Manjung di sini, Ahad.

Beliau sekaligus menepis dakwaan pihak tertentu yang mengatakan sistem itu boleh dipasang syarikat berkenaan di mana-mana sahaja dengan sewenang-wenangnya apabila berkata pemerhatian dan analisis kawasan perlu dijalankan terlebih dahulu sebelum melaksanakan pemasangan sistem AES.

Katanya sejak sistem AES dipasang di 14 lokasi mulai September lepas, ada kawasan yang merekodkan penurunan dramatik antara 60 dan 70 peratus jumlah pesalah memandu melebihi had laju dan melanggar arahan lampu isyarat. "Apa yang penting sistem AES perlu dilaksanakan di seluruh negara supaya kita akan dapat melihat keberkesanannya. Pada masa ini hanya ada 14 lokasi sahaja jadi adalah masih awal kalau kita mahu mengatakan ia berkesan. Tidak adil kita menjangka sesuatu keajaiban berlaku," katanya.

Kong berkata jumlah kemalangan di negara ini masih tinggi berbanding negara Asia Tenggara yang lain disebabkan dua faktor iaitu jumlah penduduk yang tinggi dan jumlah kenderaan yang tinggi iaitu setakat ini sebanyak 23 juta kenderaan berdaftar dengan JPJ.

Dalam perkembangan lain, beliau turut membidas tindakan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng yang tidak mahu bekerjasama dengan kerajaan persekutuan berhubung masalah Tanjung City Marina yang diabaikan dan projek Swettenham Pier.

Beliau berkata banyak perkara tidak boleh diselesaikan disebabkan tindakan kerajaan negeri itu dan kenyataan Lim berhubung dua projek berkenaan adalah tidak semua benar.

"Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) sebelum ini (Tan Cheng Liang) telah melawat dan membuat kenyataan media.

"Jadi ketua menteri tidak semua betul...kerana banyak perkara tidak dapat dilakukan kerana mereka tidak bekerjasama," katanya.

Baru-baru ini akhbar melaporkan Tanjung City Marina yang diabaikan dan terminal kapal persiaran antarabangsa Swettenham Pier yang tidak mendapat sijil layak menduduki (CF) dari Majlis Perbandaran Pulau Pinang.

Bekas pengerusi SPPP Tan Cheng Liang dilaporkan mendedahkan Lim telah membatalkan permohonan SPPP untuk memperbaharui lesen hak milik tanah selepas enam bulan mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri pada 2008. -BERNAMA

Artikel Sebelum

UPM Bakal Jadi Duta Pelancongan

Artikel Berikut

Artikel Lain