suria

Remaja Pukul Abang Hingga Mati Direman

GEORGE TOWN: Remaja lelaki yang memukul abangnya sehingga maut di kediaman kelamin warga tentera di Kem Sungai Ara, Bayan Lepas di sini dua hari lalu direman sehingga Khamis ini.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Supt Hatta Md Zin berkata setakat ini kes itu disiasat menurut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, namun ia akan dirujuk kepada Pejabat Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.

"Walaupun kejadian itu seperti tidak disengajakan, kita tetap siasat menurut Seksyen 302 iaitu membunuh. Tetapi keputusan sama ada remaja berusia 16 tahun itu akan didakwa menurut Seksyen 302 atau seksyen lain bergantung kepada Pejabat Pendakwa Raya," katanya ketika dihubungi, Isnin.

Hatta berkata polis telah mengambil keterangan daripada beberapa saksi di tempat kejadian termasuk ibu mangsa.

"Kes itu kita anggap telah selesai kerana suspek ditahan dan polis juga telah merekodkan keterangan daripada mereka yang menyaksikan kejadian berkenaan. Laporan lengkap sedang dibuat dan akan dihantar ke Pejabat Pendakwa Raya dalam tempoh terdekat," katanya.

Muhammad Asyraf Muhammad Shukri, 17, dilaporkan maut akibat tumbukan bertubi-tubi di belakang kepala oleh adiknya dalam kejadian kira-kira 7 malam.

Mangsa yang dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang meninggal dunia kemudiannya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

UPM Bakal Jadi Duta Pelancongan

Artikel Berikut

Artikel Lain