suria

Pelaksanaan Gaji Minimum Terhadap Majikan Dengan Lima Pekerja Atau Kurang Ditangguh

KUALA LUMPUR: Majikan yang menggaji lima pekerja atau kurang diberi penangguhan dalam pelaksanaan skim gaji minimum untuk sektor swasta kepada 1 Julai tahun depan, kata Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Dr S. Subramaniam.

Beliau berkata majikan yang tergolong dalam kategori ini wajib memohon penundaan kepada Majlis Perunding Gaji Negara (MPGN) sebelum atau pada 1 April 2013.

"Bagi majikan yang menggaji enam pekerja atau lebih, yang telahpun membuat permohonan penundaan kepada MPGN sebelum ini, keputusannya akan diumum selewat-lewatnya akhir bulan ini," katanya pada sidang akhbar selepas menyampaikan sumbangan RM100,000 untuk pembangunan semula Kuil Thirumurugan Aalaya Paribalana Sabai yang terletak berhampiran Hospital Kuala Lumpur (HKL), malam Isnin.

Pengumuman gaji minimum bagi sektor swasta dibuat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 30 April dan diwartakan pada 16 Julai lepas.

Perintah gaji minimum 2012 berkuat kuasa pada 1 Jan 2013 dan kadarnya akan dikaji semula setiap dua tahun.

Subramaniam berkata penguatkuasaan pelaksanaannya adalah mandatori dan kerajaan menetapkan gaji minimum pekerja swasta ialah RM900 di Semenanjung dan RM800 di Sabah, Sarawak dan Labuan.

Mengulas Mesyuarat Agung Tahunan MIC ke-66 pada 9 Dis ini, beliau berkata antara isu yang akan dibangkitkan ialah dasar politik baharu yang diperkatakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan langkah pembaharuan oleh Presiden parti Datuk Seri G.Palanivel.

"Isu lain yang akan disentuh ialah pendidikan, ekonomi dan peluang perniagaan, khususnya membabitkan kontrak kerja oleh kerajaan untuk kaum India," katanya.

Subramaniam berkata satu resolusi membabitkan isu berkenaan akan dibuat pada akhir mesyuarat dan diserah kepada kerajaan untuk tindakan lanjut.

Mengenai Kuil Thirumurugan Aalaya Paribalana Sabai, beliau berterima kasih kepada Kementerian Kesihatan kerana meluluskan rancangan pembinaan semula kuil itu.

Kuil itu memberi kemudahan ibadat kepada kaum India apabila menerima rawatan atau berurusan di HKL, katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

UPM Bakal Jadi Duta Pelancongan

Artikel Berikut

Artikel Lain