suria

Nenek Dan Cucu Maut Dirempuh Kereta Dipandu Remaja 17 Tahun

PENDANG: Seorang nenek dan cucu lelakinya maut akibat dirempuh kereta yang terbabas di Batu 13 3/4 Kampung Kobah dekat sini pagi Ahad.

Nenek tersebut Munah Ismail, 64, serta cucunya itu Syahrul Fitri Shahrul Anuar, 5, serta seorang lagi cucu perempuannya Nurul Fitrah dikatakan sedang berjalan ke sebuah warung yang terletak kira-kira 300 meter dari rumah mereka untuk bersarapan pagi kira-kira 8.00 pagi.

Ketiga-tiga mereka yang berpimpinan tangan dirempuh sebuah kereta Proton Wira Aeroback yang dipandu seorang remaja berumur 17 tahun yang datang dari arah Kota Sarang Semut menuju ke sini, kata Pemangku Ketua Polis Daerah Pendang, ASP L. Pubadi.

Munah yang tercampak kira-kira 10 meter serta cedera parah di kepala meninggal di tempat kejadian manakala Syahrul Fitri yang juga cedera di kepala dan badan meninggal di Klinik Kesihatan Kota Sarang Semut ketika menerima rawatan.

Sementara Nurul Fitrah hanya cedera ringan di kepala mendapat rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar sebelum dibenar pulang.

Pubadi berkata seorang penunggang motosikal Mohd Jailani Abd Rahman, 43, dari Kampung Alor Besar, Bukit Raya dekat sini patah kaki kiri setelah dirempuh kereta yang sama.

Turut dirempuh ialah 10 buah motosikal lain yng diparkir berhampiran warung itu.

Beliau berkata pemandu kereta itu dikatakan cuba mengelak objek di tengah jalan sebelum hilang kawalan dan merempuh ketiga-tiga mangsa serta penunggang motosikal tersebut.

Katanya pemandu kereta berkenaan bersama teman wanitanya yang juga berusia 17 tahun turut mengheret sebuah lagi motosikal sebelum terbabas ke tepi jalan di arah bertentangan.

Pubadi berjata pemandu itu telah menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Pendang sejurus selepas kejadian dan dia ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. "Setakat ini pihak kami menerima lima laporan daripada pemilik motosikal berhubung kemalangan itu dan sekiranya terdapat penunggang yang belum membuat laporan, mereka diminta berbuat demikian bagi membantu siasatan," katanya.

Sementara itu suami kepada Munah, Ghazali Awang, 63, berkata dia yang berada di rumah pada mulanya merasa hairan melihat orang ramai tergesa-gesa ke warung tersebut, sejurus selepas isteri dan dua cucunya keluar dari rumah.

Katanya dia yang turut ke warung itu amat terkejut dan rebah apabila melihat isteri dan cucunya terbaring di atas jalan akibat kemalangan.

Mayat Munah dan cucunya kemudiannya dihantar ke HSB untuk dibedah siasat sebelum dituntut anggota keluarganya.

Jenazah mereka dikebumikan di tanah perkuburan Kampung Kobah petang ini. -BERNAMA

Artikel Sebelum

UPM Bakal Jadi Duta Pelancongan

Artikel Berikut

Artikel Lain