suria

Tiga Penuntut UniKL Maut Kereta Terbabas

PUTRAJAYA: Tiga penuntut Universiti Kuala Lumpur yang dalam perjalanan ke Port Dickson maut apabila kereta yang dinaiki terbabas lalu bertembung dengan kereta dari arah bertentangan di Jalan Salak-Sepang dekat sini pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Sepang Supt Imran Abdul Rahman berkata dalam kejadian pada 5 pagi itu, mangsa yang maut ialah penumpang kereta iaitu Ahmad Fikri Mohd Salihudin, 21, dan Muhammad Hilman Syafiq Kamaruzaman, 19, yang masing-masing maut di tempat kejadian.

Katanya seorang lagi mangsa Muhammad Izuanuddin Mohd Ashari, 21, meninggal dunia ketika mendapat rawatan di Klinik Kesihatan Sungai Pelek, Sepang, manakala pemandu kenderaan Mohammad Faizullah Malik, 21, masih dirawat di Hospital Serdang dan dalam keadaan stabil.

Difahamkan kesemua mangsa berkonvoi bersama rakan-rakan lain yang menaiki kereta berasingan untuk bercuti ke Port Dickson.

"Kemalangan itu melibatkan kereta yang kedua-duanya jenis Perodua Kancil, dipercayai berlaku akibat keadaan jalan yang berselekoh serta suasana gelap," katanya ketika dihubungi.

Seorang lagi pemandu kereta yang hanya dikenali sebagai Dhani, 29, yang turut mendapat rawatan di Hospital Serdang sudah dibenarkan keluar dari hospital.

Imran berkata pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kemalangan itu. -BERNAMA

Artikel Lain