suria

Muhyiddin Garis Tujuh Rukun Pastikan Kemenangan Umno Dalam PRU13

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin menggariskan tujuh rukun kemenangan bagi memastikan Umno dan Barisan Nasional (BN) kekal menjadi kerajaan dalam tempoh lima tahun akan datang.

Beliau berkata cabaran dalam Pilihan Raya Umum (PRU) kali ini cukup besar di mana semua pimpinan dan ahli parti perlu bekerja lebih keras jika mereka mahu kemenangan yang lebih besar.

“Kita sudah berada di peringkat terakhir dan cabaran dalam PRU13 kali ini penting. Selaku pengarah pilihan raya kita telah bekerja dengan begitu keras skali.

“Saya telah turun di semua negeri untuk lihat apa yang berlaku diperingkat akar umbi. Saya sudah bekerja kuat, tapi saya lihat presiden kita sudah bekerja lebih kuat dan turun padang lebih kerap kepada saya untuk bekerja lebih keras,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung Umno 2012 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada Sabtu.

Antara tujuh rukun kemenangan yang digariskan oleh Muhyiddin bagi menghadapi cabaran getir pra pilihan raya adalah, patuh kepada pemimpin, ketaatan dan kesetiaan wajar dan wajib dilaksanakan.

“Kita patut terima apa jua keputusan daripada pucuk pimpinan, laksanakan tugas dan tanggungjawab atau soal calon pilihan raya atau soal kawasan yang ditandingin di kalangan parti komponen BN.

“Sebab itu kita perlu dengar dan laksanakan apa jua yang dikehendaki oleh parti. Ini adalah lambang dan kenyakinan kita kepada pucuk pimpinan,” katanya.

Beliau turut menyeru ahli Umno mengatur strategi dalam menghadapi perang PRU13.

“Kita perlu pertahan kerusi yang kita menangi, kekalkan kerusi ini ditangan BN. Pada masa sama, kita tebus semula kawasan-kawasan yang kita tewas dalam PRU akan datang.

“Pimpinan di peringkat negeri, bahagian dan cawangan perlu menyampaikan maklumat dan perkara yang telah diputuskan di peringkat pusat dan negeri disampaikan kepada ahli diperingkat akar umbi bagi memastikan kita raih kemenangan besar dalam PRU13,” katanya.

Muhyddin yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata ahli parti perlu faham dan melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan.

“Laksanakan tanggungjawab dengan bersungguh-sungguh bagi menentang ideologi songsang, termasuk amalan pluralisme yang boleh membawa kesan buruk kepada generasi muda.

“Benteng ini perlu diperkukuhkan ketika menghadapi PRU. Setiap kita ada peranan walau kecil mana sekalipun. Jika ia dilaksanakan dengan baik saya yakin matlamat untuk mencapai kemenangan besar dapat dicapai,” katanya.

Jelasnya, apabila ahli parti mengenali musuh mereka maka 'musuh tersebut akan dapat diatasi.

“Kenali siapakan musuh kita. Kita perlu tahu PAS kuda tunggangan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR). Siapa musuh kita? Musuh kita PKR, DAP yang rasis.

“Selain kita kenali nama mereka, kita perlu tahu pergerakan mereka di peringkat nasional dan bahagian. Jangan benar mereka tembusi kawasan kita. Sebab itu kita perlu ada kubu yang kukuh dan ampuh,” katanya.

Justeru, beliau mahu pimpinan dan ahli parti rapatkan barisan dengan menyelaraskan tindakan di semua peringkat.

“Pemuda, Wanita dan Puteri perlu bergerak secara sederap supaya mengeratkan perpaduan dan mengelakkan perbalahan.

“Pemimpin parti di semua peringkat jangan timbulkan isu-isu baru supaya kita tidak lagi lemah dan pengundi yakin dan lihat Umno dan BN lihat kita sebuah parti yang terus kukuh dan kuat. Kita perlu berpegang teguh dan jangan bercerai berai,” katanya.

Muhyiddin juga mahu semua pimpinan berada dalam keadaan siap siaga bukan sahaja daripada aspek fizikal tetapi mental dan rohani.

“Saya percaya PRU 13 lebih besar cabarannya. Persiapan akal fikiran, kesihatan tubuh badan sangat penting dan kita boleh jangka bila pembangkang akan serang kita.

“Kita perlu pastikan bilik gerakan, di semua peringkat digerakkan bermula pada hari ini hinggalah pilihan raya diumumkan oleh Perdana Menteri,” katanya.

Akhirnya, beliau menyeru ahli Umno agar berjuang habis-habisan hingga saat-saat akhir PRU13.

“Parti lawan juga mula gementar dengan cabaran PRU yang cukup mencabar sebab itu kita perlu kental dan berani hadapi PRU 13.

“Pokoknya semangat juang kental perlu dipertahankan, panji-panji kita usah tersungkur sebelum masanya, biar panji-panji Umno kita bangkitkan tegakkan perjuangan,” katanya.

Artikel Lain