suria

Pengunjung MAHA 2012 Kini Cecah 2.3 Juta

PUTRAJAYA: Jumlah pengunjung ke Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2012 sejak bermula pada 23 November lepas kini mencecah 2.3 juta orang.

Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Mohd Hashim Abdullah berkata jumlah itu dijangka meningkat hari ini dan esok, berdasarkan angka tersebut sasaran tiga juta pengunjung mungkin boleh dicapai.

"Purata sehari adalah seramai 400,000 yang hadir. Selain pameran pelbagai seminar turut diadakan untuk memberi maklumat kepada mereka yang berminat dengan bidang agro pertanian," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar MyAgrosis MAHA 2012 di sini Sabtu.

Bertemakan 'Transformasi Pertanian Melalui Inovasi' MAHA 2012 berlangsung dari 23 Nov hingga 2 Disember ini.

Sementara itu, Mohd Hashim berkata kini lebih ramai golongan profesional turut terbabit dalam sektor pertanian dan menjadikan bidang itu satu daripada sumber untuk meraih pendapatan tinggi.

"Ada doktor kini menjadi antara pengeksport utama durian ke China, ada doktor yang menjadi penternak ayam...telah menternak hampir 5,000 ekor ayam kampung...ada juruterbang menjadi penternak kambing.

"Ini menunjukkan bidang pertanian mempunyai potensi besar untuk diceburi terutama anak-anak muda, sekaligus melenyapkan stigma bahawa sektor itu satu pekerjaan kotor dan tidak glamor," katanya.

Sehubungan itu, Mohd Hashim berkata generasi muda perlu dibabitkan secara langsung di dalam bidang pertanian dan industri berkaitan pertanian supaya mereka memahami kepentingan serta kebaikan yang boleh diperoleh dari bidang tersebut.

"Sebab itu kita tubuhkan MyAgrosis, dengan adanya kelab ini mereka sendiri akan mengendalikan sesuatu projek sama ada pertanian, pengeluaran produk berasaskan pertanian atau perniagaan...kita lebihkan praktikal berbanding teori," katanya.

Sejak dilancarkan pada 17 Disember tahun lepas, keahliannya telah mencecah 4,900 yang terdiri daripada siswazah universiti dan pelatih Institut Latihan Pertanian (ILP). - BERNAMA

Artikel Lain