suria

Kos Operasi Meningkat, Kerajaan Diminta Kaji Kenaikan Tambang Bas 30 Peratus

KUALA LUMPUR: Persatuan Pengusaha Bas Seluruh Malaysia (PMBOA) bersetuju dengan saranan syarikat-syarikat bas agar kerajaan menaikkan tambang bas sebanyak 30 peratus untuk mengelak syarikat terbabit mengalami kerugian sehingga terpaksa menamatkan operasi mereka.

Presiden PMBOA Datuk Mohamad Ashfar Ali berkata cadangan yang dikemukakan Pengarah Urusan Konsortium Transnasional Sdn Bhd Datuk Seri Mohd Nadzmi Salleh mempunyai asas yang kukuh kerana realitinya pengusaha bas menanggung kos yang tinggi dalam operasi perkhidmatan bas yang membabitkan penyelengaraan, kos tayar, tol, casis dan gaji pemandu.

Beliau mengulas kenyataan Mohd Nadzmi yang mencadangkan kerajaan untuk mengkaji semula struktur tambang bas sebanyak 30 peratus ekoran kos penyelenggaraan dan harian bas yang semakin meningkat sekarang.

Mohamad Ashfar berkata PMBOA telah pun menghantar satu memorandum yang mengandungi 15 cadangan pada 30 Julai lepas kepada Kementerian Kewangan untuk perhatian Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Kami antara lain mencadangkan supaya kerajaan memperkenalkan polisi pengangkutan awam darat nasional dan menaikkan tambang bas sebanyak 30 peratus ekoran kos operasi bas yang semakin meningkat sekarang," katanya kepada Bernama di sini.

Cadangan berkenaan bertujuan membantu pengusaha bas ekspres dan henti-henti di negara ini daripada mengalami kerugian serta memastikan kebajikan pekerja terpelihara, kata Mohamad Ashfar.

Beliau berkata memorandum itu turut dihantar kepada Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) pada tarikh yang sama tetapi sehingga hari ini, PMBOA masih belum menerima sebarang maklum balas dari pihak terbabit.

Menurutnya kali terakhir kerajaan menaikkan tambang bas ialah pada 2008 dan sejak itu industri bas terpaksa berdepan dengan peningkatan kos termasuk penyelengaraan, kos tayar, tol, casis dan gaji pemandu.

Cadangan lain yang dibangkitkan PMBOA dalam memorandum itu ialah melanjutkan jangka hayat perkhidmatan bas ekspres selama 10 tahun, dan 15 tahun bagi bas henti-henti, selain membekukan pengeluaran permit kepada pengusaha baharu untuk tempoh tiga tahun, katanya.

Setiausaha Agung Kesatuan Pekerja-pekerja Pengangkutan Semenanjung Malaysia (TWU) Tan Sri Zainal Rampak pula berkata beliau menyokong cadangan PMBOA itu dan meminta kerajaan mempertimbang pengecualian cukai untuk pembelian alat-alat ganti bas dan pembelian bas baru kerana buat masa ini kos-kos berkenaan adalah tinggi dan ia membebankan pengusaha bas.

"Sekiranya tiada pengecualian cukai atau insentif lain disediakan kerajaan, agak sukar syarikat-syarikat bas untuk bertahan dan menanggung kos harian tinggi berbanding hasil keuntungan yang rendah akibat kekurangan penumpang," katanya.

Setiausaha Agung Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) Muhammad Shaani Abdullah berkata jika kerajaan bersetuju untuk menaikkan tambang bas, Fomca berharap pengguna tidak menjadi mangsa keadaan dan terpaksa membayar tambang bas terlalu tinggi.

"Perkhidmatan bas di seluruh negara masih di tahap yang tidak memuaskan maka semua pihak perlu menyelesaikan masalah ini," katanya. Beliau bersetuju dengan cadangan untuk menaikkan tambang bas bagi menampung inflasi dan kenaikan kos tetapi ia harus dilakukan secara berhemah.

"Pengguna juga mempunyai hak untuk mendapat perkhidmatan bas yang baik kerana antara aduan pengguna yang diterima Fomca adalah sikap pemandu bas yang kasar terhadap penumpang, tiada kemudahan untuk golongan kelainan upaya (OKU), dan perkhidmatan bas yang tidak mengikut jadual," kata Muhammad Shaani. - BERNAMA

Artikel Lain