suria

Isu Doa PAS Petanda Kemenangan BN Pada PRU-13

Wakil Pendang, Mohd Kamal Saidin bersemangat ketika membahaskan usul agama pada hari terakhir Perhimpunan Agung Umno 2012 kali ke-66 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Sabtu. -fotoBERNAMA
Wakil Pendang, Mohd Kamal Saidin bersemangat ketika membahaskan usul agama pada hari terakhir Perhimpunan Agung Umno 2012 kali ke-66 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Sabtu. -fotoBERNAMA
Wakil Pendang, Mohd Kamal Saidin bersemangat ketika membahaskan usul agama pada hari terakhir Perhimpunan Agung Umno 2012 kali ke-66 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Sabtu. -fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Tindakan PAS mendoakan agar Umno dan Barisan Nasional (BN) dihancurkan disifatkan sebagai petanda kemenangan BN pada pilihan raya umum ke-13.

Wakil Kedah, Mohd Kamal Saidin berkata, perjuangan PAS sebagai parti yang dikatakan berlandaskan Islam sanggup 'mengkafir' dan menghancurkan pihak lain.

Jelasnya, ia adalah petanda yang membawa kemenangan kepada BN dan seterusnya menyaksikan antara penyokong pembangkang akan beralih kepada kerajaan persekutuan.

"Sebahagian mereka (penyokong pembangkang) akan jadi penyokong atas pagar atau mungkin juga mereka tidak keluar mengundi (dalam PRU-13). Maka untung kitalah.

"Ini memberi kemenangan kita dalam pilihan raya umum akan datang. Dengan aura kepimpinan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak), mereka akan kembali kepada kita (BN) untuk memberi sokongan. Dalam PRU-13, insya-Alllah kemenangan akan berpihak kepada kita," katanya ketika membahaskan usul agama dan pendidikan pada Perhimpunan Agung Umno 2012 di sini, Sabtu.

Beliau mengulas mengenai doa yang dibacakan semasa PAS mengadakan solat hajat di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV sempena Himpunan Kebangkitan Rakyat anjuran parti itu, baru-baru ini.

Mohd Kamal yang merupakan Ahli Jawatankuasa Umno Bahagian Pendang berkata, PAS pada hari ini dikatakan melakukan banyak perkara yang menimbulkan rasa kurang senang di kalangan pengundi.

"Antaranya adalah isu perebutan jawatan perdana menteri, PAS kata presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan jadi Perdana Menteri sekiranya pembangkang menang PRU-13," katanya.

Dalam pada itu, Mohd Kamal berkata, Umno dituduh pembangkang sebagai sebuah parti yang menolak Islam dan memperlekehkan agama itu.

"Umno perlu meyakinkan pembangkang tentang perjuangan parti berlandaskan al-Quran dan hadis.

"Apa yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan Fasal Tiga adalah mengenai agama Islam dan Perlembagaan Umno Fasal Tiga juga tentang mempertahankan Islam.

"Apa yang kita buat adalah mengenai syiar dan syariat Islam. Ini jelas perjuangan Umno begitu konsisten," katanya.

Artikel Lain