suria

Cerita 'Suami Garang' Gamatkan Persidangan Umno

KUALA LUMPUR: Ahli Umno digesa supaya bersikap garang dan agresif terutama dalam menangkis pelbagai dakwaan pembangkang khususnya ketika menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Perwakilan Pemuda, Datuk Sohaimi Shahadan mengingatkan ahli Umno supaya tidak hanya bersikap garang sesama sendiri ketika menyertai perbahasan namun takut untuk mempertahankan parti.

"Jangan jadi garang di sini sahaja, jangan garang sesama orang parti sahaja.

"Tapi kita mesti garang ketika berhadapan dengan pembangkang. Kita kena lawan mereka demi mempertahankan parti kita," katanya ketika membahaskan usul ekonomi pada Perhimpunan Agung 2012 di sini, Jumaat.

Sohaimi yang juga Pengerusi Biro Ekonomi dan Pembangunan Usahawan Pemuda Umno turut mencuri tumpuan perwakilan apabila mengambil contoh cerita sepasang suami isteri yang saling tengking-menengking.

Menurut Sohaimi, lelaki berkenan cuba membuktikan bahawa beliau lebih garang daripada isterinya walaupun sebenarnya tidak.

"Pada suatu hari bila lelaki itu balik dengan baju yang kotor, isterinya tengking si suami supaya basuh sendiri baju itu...garang isteri dia ni.

"Namun lelaki itu kata dia lebih garang, dia pun tengking isterinya. Tuan-tuan nak tahu apa yang dia tengkingkan? Dia tengking dengan nada kuat untuk minta sabun sebab nak basuh bajunya sendiri," katanya sambil disambut tepukan dan gelak tawa perwakilan.

Selain itu Sohaimi turut menggesa agar perwakilan menggunakan contoh kegagalan kerajaan Selangor mengotakan janji dalam manifesto mereka pada pilihan raya 2008 sebagai 'senjata' menghadapi pilihan raya umum akan datang.

"Tuan-tuan boleh cetak manifesto pembangkang di Selangor, mereka gagal kotakan janji. Malah mereka kata manifesto bukannya janji.

"Jadi kalau tak mahu negeri tuan-tuan terlepas kepada pembangkang, kita mesti kerja keras untuk pertahankan kemenangan kita," katanya.

Artikel Lain