suria

Tuduhan Fitnah Pembangkang Antara Punca Saham FGVH Tidak Menentu

KUALA LUMPUR: Tuduhan fitnah dari pihak pembangkang, antara penyebab saham Felda Global Ventures Holdings (FGVH) tidak menentu, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan.

Ahmad, yang juga Ketua Penerangan Umno, berkata tuduhan melampau yang dilempar oleh pihak pembangkang terhadap FGVH telah menyebabkan saham itu tidak menentu.

"Selain punca pasaran minyak sawit dunia, fitnah yang dikeluarkan oleh pembangkang adalah antara punca saham FGVH tidak menentu," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Agong UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini Jumaat.

Terkini, katanya Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan Mazlan Aliman, yang juga ahli jawatankuasa Pas Pusat, menuduh bahawa Felda telah menjual minyak kepada sebuah syarikat Israel.

"Pembangkang adalah kumpulan pembohong dan pemfitnah kerana Felda tidak pernah dan tidak akan pernah menjalankan sebarang urus niaga dengan Israel," katanya.

Katanya beliau tidak percaya akhbar milik orang kumpulan ulama boleh menyebarkan fitnah.

"Kami sedang berbincang dengan peguam Felda untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Suara Keadilan dan Harakah yang menyiarkan kenyataan fitnah Mazlan baru-baru ini," katanya.

Katanya, dalam tuduhan tersebut, Mazlan menuduh Felda melalui kaedah kontrak rangkaian telah berurus niaga dengan sebuah syarikat Bunge Agribusiness Singapore Private Limited.

Ahmad berkata Bunge Agribusiness Singapore Private Limited adalah anak syarikat Bunge Limited, sebuah syarikat senaraian awam Amerika Syarikat, iaitu negara di mana Malaysia mempunyai hubungan diplomatik dan perdagangan.

"Kumpulan syarikat Bunge Limited bukan milik Isreal dan syarikat ini tidak ada cawangan di Israel," katanya.

Beliau berkata kumpulan Felda, selain mengeluar dan menjual minyak sawit, juga pada masa yang sama membeli minyak sawit bagi memenuhi keperluan pada masa tertentu, daripada pelbagai pihak menerusi Felda Iffco Oil Products (FIOP) melalui kaedah kontrak rangkaian. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Umno Tidak Pinggirkan Kaum Lain

Artikel Berikut

Artikel Lain