suria

Suami Isteri Rakyat Malaysia Dipenjara Di Melbourne Tipu Kad Kredit

MELBOURNE: Pasangan rakyat Malaysia yang membantu sindiket jenayah antarabangsa menipu ratusan ribu dolar dari ahli perniagaan Melbourne, dipenjara.

Kes Kenny Lim dan isterinya Sok Lim yang merupakan pemain utama dalam kumpulan penipuan kad kredit tercanggih itu didengar mahkamah daerah, Khamis.

Mereka adalah sebahagian daripada operasi yang disusun rapi menggunakan butiran kad kredit yang dicuri untuk meraih lebih daripada A$200,000, lapor Herald Sun.

Butiran yang dicuri dari negara-negara termasuk Chile, Afrika Selatan, Yugoslavia dan Jerman itu digunakan dalam operasi 12 bulan itu.

Pasangan itu mengaku bersalah atas beberapa tuduhan penipuan.

Hakim David Parsons menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun enam bulan ke atas Kenny Lim dan dia perlu menjalani hukuman itu sekurang-kurangnya enam bulan sebelum layak mendapat parol.

Sok Lim pula dipenjara 18 bulan tanpa tempoh bukan parol sembilan bulan.

Kedua-duanya akan diusir selepas dibebaskan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Umno Tidak Pinggirkan Kaum Lain

Artikel Berikut

Artikel Lain