suria

Polis Cari Lapan Suspek Disyaki Tetak Dua Lelaki Dalam Warung

GEORGE TOWN: Polis sedang memburu lapan lelaki berumur 20 hingga 30-an disyaki menetak dua lelaki dalam sebuah warung di Batu Maung, dekat sini Khamis.

Ketua Polis Daerah Barat Daya Supt Hatta Md Zin berkata dalam insiden 11.30 malam itu, mangsa M.Visvanathan, 20, dan rakannya Ahmad Mustafa Rahmat, 26, dikatakan sedang minum di warung berkenaan sebelum diserang kumpulan lelaki terbabit.

"Suspek yang bersenjatakan parang menetak dan membelasah mangsa sebelum melarikan diri dari tempat kejadian dengan motosikal," katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata Visvanathan dan Ahmad Mustafa cedera parah di kepala dan seluruh badan dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang dan keadaan mereka dilaporkan stabil. Hatta berkata kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan. Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. -- BERNAMA

Artikel Sebelum

Umno Tidak Pinggirkan Kaum Lain

Artikel Berikut

Artikel Lain