suria

Permohonan Ibu Dapatkan Sijil Kelahiran Lima Anak Tercapai

TAIPING: Permohonan seorang ibu untuk mendapatkan sijil kelahiran dan MyKids lima anaknya tercapai setelah menerima dokumen tersebut di kediamannya di Kampung Baru, Jalan Kuala Trong dekat sini Jumaat.

Rosidah Taha, 36, membuat permohonan tersebut untuk lima anaknya iaitu Muhammad Hakimi Zainuddin dan Ahmed Fittry yang masing-masing berumur tujuh tahun, Muhammad Izanuddin, 5, Aliff Ridzuan, 3, dan Aidil Shaffuan, 2.

Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Datuk Jariah Mohd Said menyampaikan sijil kelahiran dan Mykids kepada lima beradik itu pada satu majlis setelah pihaknya menerima butiran lengkap permohonan tersebut pada 26 Julai lepas dan meluluskannya pada 30 Ogos lalu.

Rosidah ketika ditemui pemberita berkata pendaftaran kelahiran kelima-lima anaknya itu tidak dilakukan dalam tempoh masa yang ditetapkan ekoran beliau dan suaminya Zainuddin Sabri, 62, berpindah-randah.

Beliau berkata suaminya yang bekerja sebagai pemandu kepada seorang individu bergelar 'Datuk' sentiasa sibuk, juga menjadi punca kelewatan mereka untuk melakukan pendaftaran.

"Kerja suami saya ini merata-rata tempat...saya pernah duduk di Meru, Kuala Lumpur. Bila saya melahirkan anak, petangnya saya terus berpindah ke Kuala Lumpur dan tak ada masa nak daftar sijil kelahiran sebab suami saya sentiasa sibuk, kadang-kadang seminggu sekali baru balik rumah," katanya.

Rosidah yang kini bekerja sebagai tukang masak di sebuah resort berkata dia dan suami beranggapan pendaftaran hanya boleh dilakukan di negeri kelahiran sahaja.

"Saya tak tahu mengenai prosedur pendaftaran sijil kelahiran ini, saya ingatkan lahir di Taiping hanya boleh buat pendaftaran di Taiping sebab empat orang anak saya lahir di Hospital Taiping dan seorang lagi di Hospital Selayang.

"Saya tak tanya mengenai perkara itu kepada kawan-kawan, saudara-mara atau keluarga sebab keluarga tinggal jauh," katanya.

Beliau yang merasakan sijil kelahiran penting bagi anak-anaknya dan sedar akan kelewatan pendaftaran, tergerak hati ke JPN Rawang untuk melakukan pendaftaran kerana anaknya yang keempat lahir di Selayang.

"Dari situ saya baru tahu yang saya boleh daftar sijil kelahiran di mana-mana saja, tak semestinya di negeri kelahiran. Selepas itu saya balik ke Trong dan terus ke Jabatan Pendaftaran Kamunting untuk mendaftar sijil kelahiran kelima-lima anak saya," katanya sambil menambah akibat tiada sijil kelahiran kedua-dua anaknya yang berumur tujuh tahun tidak bersekolah.

Beliau kini menyewa sebuah rumah di kampung tersebut sejak enam bulan lepas selepas suaminya mengalami serangan jantung.

Sementara itu, Jariah berkata ibu bapa perlu mengambil serius perkara itu kerana ia boleh mengundang masalah kepada anak-anak mereka untuk mendapatkan sebarang kemudahan antaranya rawatan kesihatan, pendidikan dan rujukan untuk pengeluaran kad pengenalan.

"Saya minta pegawai-pegawai JPN membuat penerangan mengenai perkara itu kepada ibu bapa. Di Malaysia ini ada 200 pejabat JPN dan kami menyediakan bas bergerak untuk mereka mendaftar dan mengadu masalah sekiranya sukar untuk melakukan pendaftaran," katanya.

Beliau berkata ibu bapa juga perlu mendaftar kelahiran anak mereka sebelum 14 hari daripada tarikh tersebut dan sebarang permohonan yang diajukan setelah 42 hari akan diklasifikasikan sebagai permohonan daftar lewat dan akan menyukarkan pemohon serta kakitangn JPN. BERNAMA

Artikel Sebelum

Umno Tidak Pinggirkan Kaum Lain

Artikel Berikut

Artikel Lain