suria

Felda Rancang Saman Harakah, Suara Keadilan Berhubung Tuduhan Jual Minyak Kepada Israel

KUALA LUMPUR: Kumpulan Felda sedang merancang untuk memfailkan saman terhadap dua akhbar pembangkang yang menyiarkan laporan muka depan mendakwa entiti kerajaan telah menjual minyak sawit kepada Israel.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan berkata ketua pengarah, pengerusi dan ketua pegawai eksekutif Felda Global Ventures Holdings (FGV) telah bersetuju untuk mengambil tindakan terhadap akhbar terbabit.

Ahmad merujuk kepada laporan muka depan akhbar Suara Keadilan pada 27 November yang tajuk muka depannya dibaca - "Najib Mesra Israel".

Harakah, yang dimiliki oleh PAS juga membawa cerita muka depan yang bertajuk "Minyak sawit Jual Ke Israel" yang diterbitkan pada 26 - 29 November.

Artikel itu mendakwa FGV, melalui subsidiarinya Felda Iffco Oil Products telah menjual minyak sawit kepada Bunge Agribusiness Singapore Private Limited, yang didakwa akhbar tersebut sebagai sebuah syarikat Israel.

"Kami mempunyai hubungan perdagangan dengan Bunge Agribusiness Singapore tetapi ia adalah sebuah syarikat awam yang disenaraikan di Amerika Syarikat. Ia tidak mempunyai apa-apa kaitan atau cara sekali pun dengan Israel dan tidak mempunyai cawangan di sana," katanya.

Beliau berkata peguam Felda kini sedang meneliti butiran tetapi tindakan undang-undang akan dimulakan selepas Perhimpunan Agung Umno, yang berakhir 1 Disember.

Artikel Sebelum

Umno Tidak Pinggirkan Kaum Lain

Artikel Berikut

Artikel Lain