suria

Polis Giatkan Kempen Antigangsterisme Melalui PVR Dan Kelab Sekolah

SHAH ALAM: Polis mempergiatkan kempen antigangsterisme melalui Pasukan Sukarelawan Polis (PVR), kelab dan persatuan di sekolah rendah serta menengah dalam usaha membanteras budaya negatif itu dari terus menular terutamanya dalam kalangan remaja.

Ketua Polis Selangor Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata kempen itu termasuk menyampaikan maklumat mengenai kesan buruk apabila membabitkan diri dengan gangsterisme serta cara untuk keluar sekiranya mereka telah terperangkap dalam aktiviti menyalahi undang-undang itu.

"Kita akan menjalankan kerjasama dengan PVR serta kelab seperti Kelab Cegah Jenayah dan Kadet Polis di sekolah menengah dan rendah bagi menyampaikan mesej mengenai kesan negatif gejala gangsterisme ini supaya mereka tidak terpengaruh," katanya pada sidang media selepas Majlis Deepavali Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini, Khamis.

Turut hadir ialah Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar serta kira-kira 2,000 tetamu.

Tun Hisan berkata seorang wakil dari setiap sekolah dan pihak polis turut dilantik bagi memantau budaya gangsterisme berkenaan selain menyalurkan maklumat yang berkaitan untuk langkah pencegahan dan juga peguatkuasaan.

Beliau berkata setiap Ibu Pejabat Polis Daerah juga akan meneruskan program menjadikan sekolah sebagai anak angkat bagi sekolah yang dirasakan perlu untuk tujuan yang sama.

Tun Hisan berkata polis juga akan menjalinkan kerjasama dengan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) sebagai usaha komited untuk menangani budaya gangsterisme di semua peringkat masyarakat.

Terdahulu, pada majlis itu sekumpulan murid-murid sekolah bersama wakil PVR di negeri itu turut melafazkan ikrar 'Katakan tidak pada jenayah dan gangsterism' sebagai menyokong kempen cegah jenayah bersama-sama polis Selangor. BERNAMA

Artikel Sebelum

Universiti Ketawa...

Artikel Lain