suria

Petronas Catat Untung Lebih Rendah Bagi Sembilan Bulan Berakhir 30 Sept, 2012

KUALA LUMPUR: Keuntungan sebelum cukai Petronas susut 5.7 peratus bagi tempoh sembilan bulan yang berakhir pada 30 Sept, 2012 kepada RM73.9 bilion daripada RM78.4 bilion.

Syarikat minyak dan gas negara itu bagaimanapun mencatatkan pertumbuhan perolehan sebanyak 1.8 peratus kepada RM214.2 bilion berbanding RM210.4 bilion setahun lalu.

Semasa mengumumkan keputusan kewangan berkenaan, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Tan Sri Shamsul Azhar Abbas berkata prestasi tahun ini sehingga kini terjejas oleh cabaran operasi.

"Keuntungan yang lebih rendah berdasarkan cabaran operasi, termasuk geopolitik dan terutamanya di Sudan, dengan keuntungan yang lebih rendah pelupusan pelaburan," kata beliau.

Shamsul berkata pertumbuhan ekonomi global yang lembap dan ketidaktentuan geopolitik terus menjadi risiko utama kepada industri minyak dan gas.

"Turun naik harga minyak memberi kesan keuntungan. Kos seluruh industri bagi peralatan, kemudahan, bahan dan buruh yang meningkat tidak membantu," katanya.

Mengenai perkembangan bidaan Petronas bagi Progress Energy Resources, firma Kanada, Shamsul berkata: "terdapat peluang rayuan yang diberikan kepada kami dan kami akan mengambil kesempatan itu. Kami telah mengemukakan apa yang diperlukan dan akan menunggu sehingga 10 Dis, yang merupakan tarikh akhir tempoh rayuan,".

Dilaporkan bahawa Petronas telah mengemukakan tawaran yang dikaji semula berhubung bidaan terhadap Progress Energy Resources selepas Kanada menyekat tawaran Petronas atas alasan urus niaga berkenaan tidak mungkin membawa manfaat kepada negara berkenaan. BERNAMA

Artikel Sebelum

Universiti Ketawa...

Artikel Lain