suria

Pembantu Kedai Makan Culik Kanak-Kanak, Curi Kenderaan Dipenjara Empat Tahun

SEREMBAN: Mahkamah Majistret di sini Rabu menjatuhi hukuman penjara empat tahun ke atas seorang lelaki selepas dia mengaku bersalah menculik tiga orang kanak-kanak adik beradik dan mencuri sebuah kereta dekat Senawang, Khamis lepas.

Tertuduh, Rose Azrool Mohd. Arshad, 34, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Mohamad Izwan Mohamed Noh.

Mengikut pertuduhan, Rose Azrool dituduh menculik tiga beradik iaitu Muhammad Hazimi Khairul Anwar, 12, Muhammad Hanif Khairul Anwar, tiga tahun dan Muhammad Haziq Khairul Anwar, setahun, daripada jagaan Norhayati Shahimi, 42 pada 2.20 petang di hadapan pasar mini di Taman Desa Dahlia dekat Senawang di sini.

Dia juga dituduh mencuri kereta jenis Proton Wira nombor pendaftaran KAH 4537 milik Khairul Anwar Zakaria di tempat, hari dan masa yang sama.

Hukuman ke atas tertuduh bermula dari tarikh dia ditangkap iaitu pada hari yang sama beliau menculik kanak-kanak itu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin manakala tertuduh tidak diwakili. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Universiti Ketawa...

Artikel Lain