suria

Jangan Gadai Masa Depan Negara Dengan Pilih Pembangkang

KUALA LUMPUR: Ahli Umno dan rakyat negara ini diseru agar tidak menggadaikan masa depan negara dengan memilih parti pembangkang pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Shafie Apdal berkata, bukti yang sudah cukup jelas dipamerkan oleh pembangkang apabila mereka diberikan peluang untuk memimpin lima buah negeri namun cara mereka mentadbir tidak demokratik disamping urus tabdir yang tidak cekap.

“Ucapan presiden cukup sarat dengan peringatan dan nasihat yang ofensif. Pokok perjuangan bukan hanya ungkapan tapi perbuatan. Ini merupakan landasan yang saya pasti tahap pemikiran seperti ini dapat dijayakan oleh ahli-ahli parti sepertima yang dimahukan oleh presiden.

“Fakta bahawa kita tidak harus mencuba-cuba untuk tukar pentadbiran jelas sekali ditegaskan. Lihat sahaja apa yang berlaku di Kelantan selepas lebih 20 tahun PAS memerintah, isu air pun mereka tidak dapat selesaikan. Apatah lagi soal pembangunan, semuanya dibantu kerajaan Persekutuan yang banyak membantu mereka,” katanya pada sidang media di Bilik Pulau Pinang di Pusat Dagangan Dunia Putra pada Khamis.

Beliau meminta ahli parti menilai kejayaan kemenangan Barrack Obama yang mempertahankan kedudukan buat penggal kedua sebagai Presiden Amerika Syarikat.

“Kenapa Obama dipilih walaupun dia seorang kulit hitam? Semuanya kerana rakyat Amerika melihat kepada soal pembangunan dan kemajuan ekonomi yang dinikmati.

“Oleh sebab itu, presiden parti banyak kali sebut kita jangan sengaja cuba-cuba untuk tukar kepimpinan, jatuh bangun negara ini di tangan Umno, satu ungkapan yang perlu diselami oleh ahli parti,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memuji keterbukaan Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak sememangnya memohon maaf atas kesilapannya.

“Jarang ada pemimpin minta maaf. Keterbukaan ini tidak ada pada pemimpin lain. Sifat terpuji Perdana Menteri ini tidak ada pada pemimpin lain,” katanya.

Justeru, belia menggesa ahli parti meletakkan kepentingan parti melebihi kepentingan peribadi.

Dalam PRU bukan sahaja pemilihan calon yang mampu menang penting sebaliknya seseorang calon itu perlu mempunyai nilai tambah supaya dapat beri khidmat kepada parti setiap masa.

Seorang lagi Naib Presiden, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menegaskan Umno telah menggunakan produk 1Malaysia bagi menangkis fitnah dan tohmahan pembangkang.

“Bila kita diserang bertubi-tubi selepas PRU 2008 kita kembali bangkit selepas tiga tahun ini. Di bawah kepimpinan Najib kita ada Program Transformasi Kerajaan, kita letakkan agenda ekonomi perkara utama sepertimana dalam Bidang Utama Ekonomi Negara (NKEA) .

“Bukan kita mahu menunjuk-nunjuk apa yang kita lakukan, kita mahu rakyat faham dan nilai sendiri apa yang telah kerajaan lakukan,” katanya.

Justeru, beliau menyeru semua pihak jangan terpengaruh dakyah pembangkang yang cuba mengalihkan isu Perhimpunan Agung Umno dengan isu sampingan yang lain.

“Kita berkumpul hari ini adalah untuk bersatu dan lihat kesinambungan kepada perjuangan. Kalau ada pihak cuba untuk alihkan pemikiran kita pada isu sampingan, kita harap mereka tidak tertipu,” katanya.

Artikel Sebelum

Universiti Ketawa...

Artikel Lain